Jika Safawi ‘available’ ketika jendela perpindahan kedua, saya nak bawanya ke Terengganu FC – Tomislav Steinbruckner
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui berminat untuk membawa Safawi Rasid ke dalam pasukan itu sekiranya pemain itu dibenarkan untuk dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau berkata bahawa pemain sayap yang ada dalam pasukan ketika ini tidak sebaik Safawi dan pemain itu pasti boleh membantu Terengganu.
“Sudah tentu kita berminat untuk dapatkannya, apabila kita bercakap mengenai pemain berkualiti seperti Safawi, beliau pernah bermain di bawah saya pada 2015.
Sekarang beliau adalah seorang pemain yang berpengalaman, saya ada beberapa pemain sayap tetapi mereka tidak berada di tahap Safawi,”
katanya.
Sementara itu, beliau kecewa apabila kesilapan individu sering menjadi punca mereka melepaskan gol, seperti ketika tewas 5-1 menentang Selangor sebentar tadi.
Katanya, Selangor mempunyai pemain yang berkualiti dan bermain dengan lebih baik tetapi para pemain tidak sepatutnya melakukan banyak kesilapan individu.
“Mungkin kita sambut raya terlalu awal, pemain saya ibarat tidak hadir dalam perlawanan ini.
Saya cuba lakukan perubahan dengan memasukkan pemain simpanan dan Ivan Mamut berjaya dapatkan satu gol tetapi ia hanya bertahan beberapa ketika saja.”
Steinbruckner berkata bahawa beliau kecewa dengan gol-gol yang dilepaskan oleh mereka pada perlawanan tersebut dan mengakui Selangor sebenarnya boleh menambah lebih lagi.
Tambahnya, mereka kini harus melupakan perlawanan ini dengan segera dan fokus untuk bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Sri Pahang.