Jordan Mintah kongsi rezeki dengan kanak-kanak kurang bernasib baik sempena Aidilfitri
Apabila sebut sahaja nama pemain Jordan Mintah, perkara pertama yang akan timbul di fikiran adalah Terengganu FC.
Itulah perkara yang cukup sinonim dengan pemain import itu yang sangat dikenali di Terengganu, malah beliau sendiri mengakui sangat selesa berada di kelab tersebut walaupun musim lalu berdepan sedikit isu dan dipinjamkan ke KL City FC untuk tempoh beberapa bulan.
Untuk musim ini, Mintah kembali memperkuatkan pasukan Sang Penyu namun bukan lagi bersama pasukan Terengganu FC II, sebaliknya skuad utama dan beliau tidak menunggu lama untuk mempamerkan aksi cemerlangnya.
Peminat juga nyata teruja dengan prestasi positif yang dipamerkan oleh pemain kesayangan mereka itu.
Mintah yang terkenal dengan sikap mesranya dengan masyarakat di sana terus mendapat perhatian ramai apabila baru-baru ini beliau telah berkongsi rezeki dengan kanak-kanak kurang berkemampuan untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Pemain yang beragama Kristian itu telah membawa 10 anak yatim ke sebuah pusat beli-belah bagi membolehkan mereka memilih sendiri pakaian raya yang dimahukan oleh mereka.
Dalam kenyataannya kepada media, Mintah membuat kebajikan itu kerana mahu kanak-kanak kurang bernasib baik turut berasa gembira dan disayangi bersempena Syawal.
Bagi yang tidak mengenali Mintah, beliau merupakan antara salah seorang pemain import yang cukup disayangi oleh masyarakat di Terengganu kerana sikap peramahnya dengan peminat terutamanya pemilik cilik.
Malah beliau yang sudah beberapa tahun menetap di Terengganu juga mempunyai keluarga angkat di mana beliau sering menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama di Kuala Terengganu.
Beliau juga pernah mendedahkan dirinya mendapat banyak tawaran dari kelab Liga Super lain, namun menolaknya kerana mahu terus kekal di Terengganu.
Walaupun belum bergelar pemain naturalisasi, namun tidak keterlaluan sekiranya hendak mengatakan Mintah sudah seperti rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi sudah menjadi orang Terengganu.
Rasanya jika Mintah sudah dinaturalisasikan, mungkin beliau akan menjadi aset penting untuk skuad Harimau Malaya kerana kesungguhannya dan semangat cintakan negara akan diterjemahkan menerusi prestasinya.
Mungkin pemain naturalisasi sedia ada ketika ini boleh menjadikan Mintah sebagai contoh terbaik kerana walaupun beliau masih lagi berstatus pemain import, namun apa yang dilakukannya ketika ini mencerminkan beliau seperti orang tempatan.