Fans tidak mahu ‘boneka’ lagi dalam pengurusan skuad kebangsaan

137

Semalam FAM mengumumkan pelantikan Scott O’Donell sebagai pengarah teknikal yang baru.

Belum pun reda dakwaan mengatakan O’Donell dikatakan sudah dilantik lebih awal oleh badan induk bolasepak negara itu, fans mula mempersoalkan apa faktor dan ciri khas yang dimiliki O’Donell hingga beliau dianggap individu paling layak menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee pada Oktober yang lalu?


Nampaknya FAM tidak akan dapat ‘duduk diam’ selagi mereka enggan buka mulut dan menjawab persoalan demi persoalan yang dibangkitkan pencinta bolasepak tempatan ketika ini. Menurut satu kenyataan, O’Donell sendiri mengesahkan belum mempunyai perancangan sebenar untuk skuad kebangsaan melainkan berselindung di sebalik ‘jawapan selamat’ untuk meneruskan kesinambungan dan memperkasakan F:30. Malah, beliau turut mengesahkan Malaysia tidak akan mengatur perlawanan persahabatan dalam masa terdekat.

Jika kita lihat, F:30 adalah penanda aras dan perancangan jangka panjang yang dirangka FAM dengan 3 fasa berbeza sehingga tahun 2030. Tetapi apa pula perancangan sebenar O’Donell dalam jangka masa 2-3 tahun ke depan ini? Bagaimana O’Donell boleh dipilih jika beliau tiada ‘manifesto’ yang boleh dijanjikan kepada FAM untuk menentukan beliau layak mendapatkan jawatan sebagai pengarah teknikal yang dianggap sebuah jawatan yang amat penting dan menjadi asas untuk membina sebuah pasukan yang mantap? ‘DNA’ bolasepak yang bagaimana sebenarnya yang dirancang O’Donell kali ini? Penyokong berhak untuk tahu.

Sumber Foto : Facebook FAM

Adakah beliau seorang yang mempunyai prinsip dan pendirian yang kuat tentang menentukan keputusan yang ingin dibuat? Ini turut menimbulkan persoalan, adakah pelantikan O’Donell ini dibuat secara telus dan kerana beliau benar-benar layak ataupun hanya sekadar menjadi ‘boneka’ dan mengikut telunjuk pihak tertentu? Sesuatu yang semestinya tidak diingini sekali lagi oleh pencinta bolasepak tanah air.

Bukannya ingin mempersoalkan tentang kebolehan bekas pemain dan jurulatih yang berasal dari Australia itu, tetapi sejauh manakah keseriusan FAM dalam menilai dan memilih calon yang tepat bagi menggalas peranan besar dalam barisan pengurusan dan kejurulatihan pasukan yang menjadi persoalan. Peminat pastinya tidak kenan jika FAM hanya ‘tangkap muat’ ataupun ‘asal pilih’ sahaja asalkan dapat memenuhi ‘kehendak peribadi’ mereka kerana ini menyangkut hala tuju dan masa depan bolasepak negara.