Penyokong Penang FC perlu realistik, tak patut letak harapan terlalu tinggi terhadap pasukan yang sedang dibentuk

278

Selepas melalui musim yang amat mengecewakan dalam saingan Liga Super musim lalu apabila menamatkan musim di tangga tercorot, penyokong Penang FC berharap musim ini akan menjadi lebih baik buat mereka.

Setakat sembilan perlawanan liga musim ini, Penang berjaya menunjukkan peningkatan dari musim lalu dengan menduduki tangga kelapan, mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan empat kekalahan.


Walaupun prestasi musim ini lebih baik daripada musim lalu, terdapat sebilangan penyokong yang tidak berpuas hati dengan aksi tidak konsisten yang ditunjukkan pasukan dan melontarkan kritikan.

Sehubungan itu, pembantu jurulatih pasukan, Manzoor Azwira memuatnaik satu status di Facebooknya, meluahkan rasa terkilan kerana penyokong ibarat tidak menghargai usaha pasukan.

Beliau sedar pasukan Penang masih belum cukup bagus dan berharap penyokong belajar untuk bersyukur atau pergi memberi sokongan kepada pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh.

Selain itu, Manzoor juga berkata bahawa tugas mengendalikan Penang tidak mudah dengan banyak kekangan yang dihadapinya.

Mungkin ada penyokong yang masih terbuai-buai dengan kejayaan musim 2021, di mana Penang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga walaupun merupakan pendatang baharu pada musim itu.

Namun, mereka harus sedar bahawa skuad kali ini bukanlah skuad sama pada musim 2021 kerana ramai pemain yang sudah bertukar ganti, selain perubahan di barisan kejurulatihan.

Manzoor pula ketika ini hanya menggalas tugasan yang ditinggalkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt yang terpaksa berehat beberapa minggu akibat masalah kesihatan.

Justeru, tidak mudah buatnya untuk membawa pasukan itu terus menjadi pasukan yang hebat dan bersaing di tangga teratas liga.

Untuk Penang mendapatkan rentak semula pasti memerlukan masa jadi penyokong tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi buat pasukan, dan perlu lebih realistik.

Apa yang dikatakan oleh Manzoor mengenai wang juga ada benarnya, kerana pasukan itu tidak mempunyai kantung kewangan yang kukuh seperti pasukan gergasi lain.

Seperti kata Manzoor juga, Penang bukanlah pasukan yang sempurna, malah tiada pasukan yang boleh dianggap sempurna dalam saingan Liga Super, kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini selesa mendominasi liga.

Hanya ada satu sahaja pasukan seperti JDT dalam saingan Liga Super jadi penyokong harus realisitik dalam melakukan perbandingan dan terus memberi sokongan padu kepada pasukan.