Jangan hanya buat peringatan, tindakan harus diambil untuk pastikan insiden pembakaran suar tidak berleluasa
Sejak kebelakangan ini, isu pembakaran suar dalam stadium mendapat perhatian ramai pihak gara-gara tindakan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyalakan suar dalam tiga perlawanan home berturut-turut, ketika menentang Sabah, Kedah Darul Aman dan PDRM.
Selepas insiden di Sabah, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berkata bahawa pihaknya akan mengambil tindakan dan Jawatankuasa Tatatertib akan menghantar surat tunjuk sebab dalam masa terdekat.
Walaubagaimanapun, ia tidak menghalang sebilangan penyokong JDT untuk terus menyalakan suar ketika perlawanan menentang Kedah dan PDRM.
Baru-baru ini, Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed sekali lagi mengingatkan agar penyokong tidak membakar suar ketika hari perlawanan.
Namun sehingga kini peminat masih ternanti-nanti apakah denda yang akan dikenakan kerana sudah masuk tiga insiden pembakaran suar melibatkan penyokong JDT.
Tindakan terhadap kelab yang bersalah sepatutnya sudah diputuskan sebelum penyokong lain juga turut melakukan perkara sama.
Sekiranya penyokong kelab lain melihat tiada tindakan yang dikenakan walaupun selepas tiga kali insiden berulang, mereka mungkin merasakan bahawa kelab mereka juga tidak akan dikenakan denda.
Jika lebih ramai penyokong dari pelbagai kelab yang mula menyalakan suar, FAM pastinya akan menghadapi lebih kesukaran untuk mengekang perkara itu.
Ia juga akan mencemarkan reputasi serta kewibawaan badan itu dalam melaksanakan undang-undang.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata bahawa baginda akur dengan denda yang bakal dikenakan dan mahu FAM menolak daripada jumlah hutang badan induk itu terhadap baginda yang masih tertunggak.
Justeru, mungkin ‘lebih mudah’ buat FAM kerana tidak perlu menagih wang denda yang dikenakan, cuma perlu menolak daripada jumlah hutang sedia ada.
Tetapi, FAM perlulah mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan yang dikenakan terhadap JDT akibat insiden itu dan jumlah denda yang diputuskan.