Tindakan pemain Tottenham Hotspur bayar balik kos tiket peminat boleh jadi ikutan pemain Liga Super?
Baru-baru ini Tottenham Hotspur telah mengalami kekalahan teruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila mereka tumbang 6-1 kepada Newcastle United.
Walaupun kekalahan itu menjadi perhatian ramai terutamanya peminat Tottenham, namun apa yang lebih menjadi perhatian adalah tindakan pemain-pemain kelab itu yang berasa tanggungjawab atas kekalahan memalukan itu.
Susulan itu, mereka telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua peminat setia termasuk mengambil keputusan untuk membayar balik kos tiket kepada peminat yang hadir pada perlawanan tersebut.
Biarpun tindakan ini tidak dapat meredakan kekecewaan dan kemarahan peminat terhadap prestasi hambar pasukan mereka, tetapi apa yang dilakukan oleh pemain Tottenham adalah satu tindakan yang harus dipuji.
Melihat situasi yang berlaku di EPL boleh dikatakan hampir serupa dengan apa yang berlaku di Liga Super Malaysia ketika ini.
Beberapa pasukan besar yang dikatakan mampu menjadi pencabar utama kejuaraan liga tampaknya gagal menyekat kemaraan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini apabila mereka tewas besar.
Antara pasukan yang tewas besar kepada JDT dalam pusingan pertama Liga Super adalah Negeri Sembilan FC (7-0), Kedah Darul Aman FC (6-0), Sabah FC (4-0) dan Selangor FC (4-0).
Kekalahan kesemua pasukan yang dilabel sebagai pencabar utama kejuaraan nyata mengecewakan peminat mereka atas prestasi hambar pasukan kesayangan.
The players have a message for our fans who went to Newcastle on Sunday… pic.twitter.com/HFfmo8R2iH
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) April 25, 2023
Mungkin pemain-pemain dari pasukan ini boleh mengikut jejak langkah tindakan pemain Tottenham sekiranya mereka terus pamer prestasi hambar.
Ia bukan sesuatu yang wajib dibuat, tetapi jika pemain mengambil keputusan untuk berbuat demikian adalah kerana mereka merasakan itu adalah tanggungjawab mereka selepas mengecewakan peminat yang sentiasa menyokong mereka sejak hari pertama lagi.
Pemain juga harus ingat bahawa peminat sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan termasuk kos tiket, kos perjalanan, membeli jersi dan barangan pasukan bagi memastikan kelab dapat menjana pendapatan supaya dapat terus maju.
Dengan kesemua pengorbanan yang dilakukan oleh peminat, mereka cuma hanya minta satu perkara sahaja iaitu mahukan pasukan sentiasa pamer prestasi baik apabila berada di atas padang.