Southampton bakal guna aplikasi Tonsser untuk ‘scout’ pemain bukan dari akademi bola sepak
Apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak akar umbi, sudah semestinya kita perlu bercakap mengenai ejen pencari bakat atau lebih dikenali sebagai scouting agent yang yang mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan akar umbi.
Bagaimanapun kini kelab bola sepak tidak perlu lagi mengharapkan sepenuhnya kepada ejen pencari bakat apabila penggunaan aplikasi Tonsser semakin popular dan kini kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Southampton akan menggunakan aplikasi itu untuk mencari bakat-bakat baru.
Menurut laporan dari media antarabangsa, Southampton akan mengadakan acara sesi pemilihan Tonsser Undiscovered di padang latihan mereka yang mana ia adalah peluang untuk mereka meneroka pemain-pemain berusia dari 13 hingga 16 tahun sekaligus berpeluang menandatangani kontrak bersama kelab itu.
Bagi yang tidak tahu mengenai Tonsser, ia merupakan satu aplikasi untuk pemain muda di peringkat akar umbi untuk memperlihatkan kemampuan mereka, di mana aplikasi itu membenarkan mereka membina identiti mereka, merakam persembahan mereka, statistik dan video, dan mereka akan bersaing dengan komuniti untuk berada dalam carta Team of the Week dan juga anugerah lain.
Menerusi aplikasi ini, pemain juga boleh mencari peluang untuk sesi percubaan, acara pembangunan dan showcase Tonsser United.
Pihak kelab dan pencari bakat boleh menggunakan platform ini untuk mengenal pasti pemain underatted dan pemain bukan dari akademi bola sepak menerusi data, video dan juga pelbagai acara sesi pemilihan.
Aplikasi itu telah digunakan oleh 1.6 juta pemain bola sepak remaja dengan sejuta adalah pemain berpengkalan di Perancis.
Banyak pemain profesional turut menggunakan aplikasi ini ketika mereka masih remaja termasuk Erling Haaland, Jesper Lindstrom, Mathias Jensen dan pemain Southampton iaitu Sekou Mara.
Selain Southampton, sebuah lagi kelab EPL iaitu Brentford FC juga dilaporkan bakal turut menggunakan aplikasi ini untuk mencari pemain muda berpotensi menjadi pemain bintang satu hari nanti.
Memandangkan ia sebuah aplikasi, mungkin pemain-pemain muda di Malaysia juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk membina karier mereka dalam dunia bola sepak dan kelab-kelab bola sepak di Liga Malaysia juga sudah boleh mula berjinak-jinak dengan aplikasi ini.
Jadi selepas ini tidak perlu lagi kelab mengharapkan 100% kepada ejen pencari bakat kerana kelab dan barisan kejurulatihan akan mempunyai alternatif baru untuk mencari pemain muda berpotensi.
Dengan dunia semakin moden termasuk teknologi, industri bola sepak juga antara salah satu industri yang mendapat manfaat daripadanya.