Kita akan kekal dengan perancangan awal sebelum ini – Petronella Douny
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny menjelaskan bahawa beliau akan mengekalkan dengan perancangan strategi dan taktikal sebelum ini apabila menentang pasukan Kepulauan Mariana Utara esok dalam kelayakan Piala Asia Wanita B-17 di Buriram City, Thailand.
“Bagi saya, saya mahu pasukan saya kekal fokus dan kita akan kekal dengan perancangan awal sebelum ini.
Ini kerana saya percaya untuk mengubah perancangan di saat-saat akhir sangat sukar, oleh itu kita kena terus fokus dengan perancangan kita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Petronella berkata demikian selepas ditanya samada beliau akan mengubah strategi dan taktikal pada perlawanan esok memandangkan Kepulauan Mariana Utara dibelasah 11-0 oleh Thailand.
Tambahnya lagi, walaupun pasukan yang bakal mereka bertemu mengalami kekalahan besar, namun beliau tidak mahu pemain-pemainnya mengambil mudah sebaliknya tetap menganggap pasukan lawan berada dalam keadaan terbaik.
Beliau pada masa sama juga tidak mengejar jumlah jaringan pada perlawanan esok kerana baginya apa yang penting adalah tiga mata penuh sebelum menentang pasukan tuan rumah.
Ini kerana skuad Malayan Tigress memerlukan enam mata untuk layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 16 hingga 21 September ini.
Dalam pada itu, ketua pasukan Eriesya Dareena pula menyuarakan keyakinannya bahawa beliau dan rakan sepasukan mampu memperoleh keputusan positif untuk pusingan pertama kelayakan.
“Sasaran peribadi saya adalah kita dapat layak ke pusingan kedua kelayakan. Saya yakin dengan rakan sepasukan dan jika kami dapat bermain sebagai satu unit dan mampu menterjemahkan taktikal yang dimahukan jurulatih, insyaAllah kami mampu melakukannya.”
Sementara itu, Petronella turut memberitahu bahawa cuaca di Thailand ketika ini sangat panas berbanding di Malaysia, namun beliau dan pemain sudah dapat menyesuaikan diri dan bersedia dan akan memberikan yang terbaik sepanjang kempen kelayakan kali ini.