Persaraan Liew Daren satu ‘rahmat’ buat Lee Zii Jia, boleh fokus kepada tugas sebagai jurulatih sepenuhnya

301

Selepas 25 tahun aktif, pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain dan menumpukan sepenuhnya kepada bidang kejurulatihan.

Beliau membuat keputusan untuk fokus membimbing perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia buat masa kini.


Sebelum ini, beliau memegang dua peranan iaitu sebagai seorang pemain dan dalam masa yang sama turut menjadi jurulatih Zii Jia.

Keputusannya untuk bersara ini mungkin satu perkara yang positif untuk dirinya dan juga Zii Jia kerana beliau kini boleh fokus sepenuhnya untuk melatih Zii Jia tanpa memikirkan kejohanan yang disertainya.

Dengan bimbingan sepenuhnya daripada Liew Daren, mungkin Zii Jia boleh memperbaiki prestasinya yang agak terumbang-ambing sejak kebelakangan ini.

Pemain perseorangan lelaki nombor empat dunia itu baru sahaja tersingkir daripada Kejohanan Badminton Asia apabila tewas di tangan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Liew Daren kini harus membuktikan kemampuannya sebagai jurulatih dan merupakan individu yang tepat yang mampu mengembalikan prestasi Zii Jia kepada tahap terbaiknya.

Zii Jia, yang disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG), juga harus segera menunjukkan peningkatan kerana penilaian untuk program itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Sekiranya prestasinya terus merudum, mungkin ia akan memberi kesan kepada penglibatannya dalam program RTG.