Berlin Leong tak tolak kemungkinan pulang bermain bola sepak di tanah air satu hari nanti

262

Pemain bola sepak wanita negara, Berlin Leong Xin Ying tidak menolak kemungkinan beliau akan kembali pulang ke tanah air untuk bermain bola sepak sekiranya mendapat tawaran dari kelab bola sepak di Malaysia.

Berlin yang kini berpengkalan di Sepanyol berkata demikian selepas melihat perkembangan bola sepak wanita di Malaysia memperlihatkan pertumbuhan yang cukup positif di bawah kendalian ketua jurulatih baru Soleen Al-Zoubi.


“Beberapa tahun sebelum ini memang saya berfikir lebih baik saya bermain di Eropah untuk tingkatkan permainan saya tapi sekarang ini dengan bola sepak wanita di Malaysia semakin berkembang, mungkin satu hari nanti pada masa hadapan saya akan dapat tawaran dari kelab di tanah air.

Apa-apa pun saya sentiasa bersikap terbuka mengenai perkara ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Berlin, dengan usianya yang masih muda beliau mahu meletakkan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi sebagai sasaran untuk mencipta kejayaan di Eropah atau sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan yang diwakilinya.

“Ketika ini saya bergantung kepada bapa saya, jadi saya tidak mahu tambah beban beliau terlalu lama. Oleh itu saya letak sasaran lima tahun sebagai tempoh untuk saya capai sasaran saya itu.”

Dalam pada itu, beliau yang kini bermain untuk kelab C.F Pozuelo gembira apabila kini semakin selesa dan mendapat tempat dalam pasukan.

Malah beliau juga mengakui kini mendapat banyak minit permainan berbanding kelab terdahulu.

Sementara itu, Berlin mengakui menjadikan pasukan bola sepak dari Asia terutamanya Jepun yang telah membuktikan fizikal bukan halangan buat pasukan dari Asia untuk menjulang Piala Dunia sebagai inspirasi untuk dirinya berjaya di Sepanyol.

“Saya sendiri bukanlah seorang pemain yang besar tapi saya rasa untuk peringkat tertentu kekuatan fizikal juga perlu tapi ia harus diseimbangkan dengan skil.

Kejayaan pasukan Jepun adalah satu perkembangan yang cukup bagus untuk bola sepak Asia kerana kalau kita lihat beberapa tahun sebelum ini bola sepak wanita sering didominasi oleh pasukan dari Barat, tapi kini pasukan dari Asia sudah dapat beri cabaran.”