Danny Ng, Im Li Ying yakin mampu sumbang pingat buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA

300

Pemain ping pong negara, Danny Ng Wann Sing yakin dengan kemampuannya dan rakan sepasukan untuk menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.

“Pada edisi lepas acara berpasukan lelaki kami berjaya peroleh pingat perak dan pingat gangsa dalam acara beregu. Untuk edisi kali ini kami akan tampil lebih baik lagi dari sebelum ini.

Kali ini saya akan main dalam satu acara sahaja iaitu dalam acara beregu, jadi saya yakin kami mampu sumbang satu pingat untuk negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Danny Ng tidak meletak sasaran untuk memperoleh pingat emas kerana untuk temasya kali ini beliau akan berpasangan dengan pemain baru, oleh itu beliau tidak mahu meletak sasaran terlalu tinggi kerana bimbang tidak dapat capai sasaran itu.


“Rakan beregu saya kali ini adalah yang baru jadi saya tidak yakin kami mampu dapat pingat emas kerana masih belum betul-betul dapat keserasian lagi.”

Dalam pada itu, untuk pemain ping pong wanita Im Li Ying pula berkata temasya pada tahun ini adalah penampilan pertamanya di Sukan SEA yang mana beliau akan bermain dalam acara beregu.

Walaupun ini penampilan pertamanya, Im Li Ying berjanji akan memberikan aksi persembahan yang terbaik dan mahu cuba capai sasarannya untuk memperoleh pingat gangsa.

“Ini adalah temasya Sukan SEA yang pertama saya, jadi saya akan cuba berikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya dapat bawa pulang pingat gangsa.”

Kedua-dua mereka ini kini sedang giat melakukan latihan intensif bagi mempersiapkan diri sebelum terbang ke Kemboja pada 7 Mei ini.

Pada Sukan SEA 2021, pasukan ping pong negara berjaya menyumbang lima pingat buat kontinjen Malaysia menerusia satu pingat perak dan empat pingat gangsa.