Anggap ada pihak cuba jatuhkan Selangor, Faisal Halim ‘terlalu jujur’ luahkan kenyataan

1,493

Selangor FC mencatatkan kekalahan kedua dalam Liga Super musim ini selepas tewas 2-1 di tangan Sabah FC di Stadium Likas semalam.

Selepas perlawanan itu, penjaring gol Selangor, Faisal Halim ada meluahkan kekecewaannya mengenai perlawanan itu ketika ditemubual oleh media.


Beliau turut meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan menganggap bahawa perlawanan itu tidak adil terhadap pasukannya.

Faisal mendakwa ada pihak yang tidak senang hati dan ingin menjatuhkan Selangor, tetapi menganggap itu sebahagian daripada bola sepak.

Disebabkan kenyataannya itu, ramai yang mengecam dirinya termasuklah bekas pemain Sabah, Scott Ollerenshaw yang turut mempersoalkan jadual Selangor pada bulan Ramadan.

Bukan saja Ollerenshaw, beberapa penyokong turut mempertikaikan kenyataan itu, dan tidak kurang juga ada yang menyokong apa yang diperkatakan oleh Faisal.

Apa yang diluahkan oleh Faisal itu ada kebenarannya, namun mungkin beliau ‘terlalu jujur’ dan lantang dalam mengeluarkan pendapatnya, menyebabkan ada segelintir pihak yang tidak dapat menerima perkara itu.

Harus diakui dalam pasukan Selangor, Faisal sentiasa menjadi sasaran oleh penyokong lawan, terutama apabila beliau gagal menjaringkan gol walaupun bermain dengan baik.

Selepas perlawanan semalam, pemain Sabah, Amri Yahyah juga ‘memerli’ Faisal dengan membuat sambutan ‘siu’ bersama rakan-rakan sepasukan.

Jadi mungkin apa yang diluahkan itu adalah perkara yang lama sudah terbuku dalam hatinya, kerana sering diserang oleh ramai pihak.

Sebagai pemain, beliau berhak untuk menyuarakan apa yang terbuku di hatinya, terutama mengenai perlawanan yang baru sahaja berlangsung.