Peminat Colombia anggap sertai JDT satu ‘downgrade’ buat Radamel Falcao
Pemain Colombia yang pernah menjadi antara penyerang terbaik dunia satu ketika dahulu, Radamel Falcao memberi bayangan bahawa beliau akan menggegarkan Liga Malaysia tidak lama lagi dengan menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain yang digelar El Tigre itu membalas satu tweet daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan ayat “Looking forward to seeing you…” selepas TMJ memberi bayangan bahawa pemain itu akan menyarung jersi bernombor 31.
Beliau berkemungkinan besar akan didaftarkan sebagai import baharu JDT pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka Mei ini.
Ia akan melengkapkan kuota sembilan pemain import yang ditetapkan, di mana JDT ketika ini hanya mempunyai lapan pemain import.
Walaubagaimanapun, berita perpindahan pemain itu ke Malaysia tidak dapat diterima oleh segelintir peminat, lebih-lebih lagi dari negara kelahirannya itu.
Ramai yang menganggap bahawa keputusan pemain berusia 37 tahun itu untuk berhijrah ke Liga Malaysia adalah satu downgrade buat kariernya.
Tahap Liga Malaysia dianggap tidak bagus untuk pemain yang mempunyai standard sepertinya, dan saingan di Liga Malaysia juga tidak begitu baik di mana JDT sentiasa mendominasi liga.
Tidak kurang yang menganggap beliau berpindah ke JDT hanya untuk wang, dan bukan untuk manfaat kariernya.
Menurut laporan media Colombia, eldeportivo.com.co, Falcao akan menerima gaji bernilai AS$1 juta (RM4.46 juta) semusim.
Beliau juga dilaporkan akan menandatangani kontrak bersama JDT selama dua tahun.