Kami harap dapat cipta sejarah pada perlawanan menentang Thailand – Petronella Douny

109

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny mengakui pasukannya akan berdepan tugas cukup berat esok apabila bakal menentang pasukan Thailand dalam perlawanan terakhir pusingan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-17.

Petronella bagaimanapun tidak meletak harapan terlalu tinggi namun berharap mereka akan mendapat keputusan positif.


“Kami harap dapat cipta sejarah pada perlawanan menentang Thailand esok. Memang saya tidak melihat harapan yang tinggi untuk perlawanan esok tetapi saya harap dapat melihat keputusan yang positif,”

katanya.

Tambahnya lagi, beliau perlu bersikap realistik dengan kemampuan pasukannya kerana pasukan lawan sudah melakukan persiapan selama setahun untuk kejohanan ini, manakala pasukannya pula hanya membuat persiapan dalam tempoh 18 hari.

Selain tempoh persiapan yang singkat, majoriti pemain-pemain dalam pasukannya adalah pemain baru dan paling muda berusia 14 tahun.

Pada perlawanan pertama semalam, skuad Malayan Tigress telah mempamerkan kualiti mereka apabila membelasah pasukan Kepulauan Mariana Utara 5-1 untuk mengutip tiga mata penuh.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perancangan dan strateginya untuk perlawanan esok, Petronella berkata mereka tidak akan bermain terlalu offensive sebaliknya mahu cuba mengimbangi permainan pasukan lawan

“Untuk perlawanan esok saya kita tidak akan bermain secara offensive sangat tapi kita akan cuba mengimbangi permainan Thailand. Kita akan cuba berikan yang terbaik dan bermain dengan corak permainan kami sendiri.

Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan tapi bukan kecederaan yang serius dan mereka boleh diturunkan pada perlawanan esok.”

Beliau juga bersyukur kerana cuaca di Thailand tidak lagi sepanas ketika mereka tiba di sana.

“Memang pada mulanya cuaca sangat panas bila kami tiba di sini, tetapi ketika ini pemain sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan cuaca di sini juga tidak sepanas sebelum ini kerana hujan.”

Sementara itu, penjaga gol utama Daliea Eliese pula berharap agar rakan sepasukannya dapat mengekalkan prestasi mereka pada perlawanan esok supaya dapat beri saingan kepada pasukan lawan.

“Saya harap rakan sepasukan dapat teruskan prestasi cemerlang mereka esok. Saya tidak harapkan kami akan menang tapi saya harap semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan esok.”

Penjaring terbanyak skuad negara Rocillyeka Lole yang menjaringkan empat gol semalam berkata gol yang dijaringkannya itu bukan untuk dirinya tetapi untuk seluruh pasukannya.

“Empat jaringan saya semalam bukan untuk diri saya tapi untuk seluruh pasukan saya. Semestinya saya mahu terus jaringkan gol untuk bantu pasukan dapat keputusan positif.”