Dengan FAM tak ada hutang, MFL mungkin ada kelewatan bayar wang hadiah – Hamidin Amin

688

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai hutang dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

“Saya tidak pasti kita ada hutang atau tidak. Saya rasa mungkin MFL (Malaysian Football League) kerana mungkin wang hadiah kemenangan belum dilunaskan, tapi saya rasa ia hampir dilunaskan tak salah saya.

Tapi dengan FAM tak ada, MFL mungkin ada kelewatan bayar wang hadiah. Saya kira ia sudah dijelaskan. Saya akan dapatkan pengesahan daripada Datuk Ab. Ghani Hassan (Presiden MFL),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hamidin berkata demikian selepas ditanya samada FAM masih berhutang dengan JDT apabila baru-baru ini TMJ dalam satu temubual memberitahu bahawa pihak FAM boleh menolak hutang sekiranya pasukan JDT dikenakan hukuman denda berikutan insiden membakar suar dalam stadium baru-baru ini.


Rata-rata peminat bola sepak tanah air kini masih menanti kenyataan atau tindakan dari Jawatankuasa Tatatertib FAM susulan tindakan penyokong JDT yang sudah tiga kali membakar suar dalam stadium.

Terdahulu, Hamidin pernah memberitahu bahawa tindakan memang akan diambil terhadap JDT susulan insiden bakar suar itu dengan pihak Jawatankuasa Tatatertib akan menghantar surat tunjuk sebab, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai perkara ini.

Dalam pada itu, Hamidin gembira dengan kejayaan skuad Malayan Tigress B-17 yang berjaya menewaskan Kepulauan Mariana Utara 5-1 dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Asia B-17 2024 semalam.

Beliau berkata kemenangan itu sedikit sebanyak akan menyuntik semangat para pemain sebelum berdepan perlawanan sukar menentang Thailand esok.

“Saya harap kemenangan itu dapat menyuntik semangat pemain untuk perlawanan seterusnya dan kita harap mereka akan teruskan prestasi apabila bertemu dengan pasukan yang lebih kuat seperti Thailand.”

Sementara itu, Hamidin juga mengesahkan bahawa pihaknya kekal dengan keputusan mereka untuk tidak menghantar skuad B-23 ke Sukan Asia kerana mahu memberi fokus pada kelayakan Piala Asia B-23 2024.