Untuk mengatakan Lee Zii Jia digugurkan dari RTG saya rasa terlalu awal, kita mahukan positif – Hamidin Amin
Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata terlalu awal untuk menyatakan ada kemungkinan pemain badminton perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia akan digugurkan dari program Road to Gold (RTG).
Hamidin menyedari prestasi tak konsisten Zii Jia ketika ini selepas beliau ditunjukkan jalan keluar awal selepas tewas pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) baru-baru ini.
“RTG ini dipengerusikan oleh YB Menteri Hannah Yeoh bersama Tan Sri Norza Zakaria kita akan membuat penilaian terhadap prestasi atlet-atlet setiap dua bulan. Kemungkinan ada pemain-pemain baru akan diserap ke dalam program ini.
Jadi untuk mengatakan Lee Zii Jia terkeluar dari RTG ini terlalu awal. Kita nakkan positif, semuanya orang termasuk Zii Jia atau tanpa Zii Jia kita mahukan yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Hamidin juga berharap agar Zii Jia akan kembali kepada prestasi sebenarnya kerana beliau masih mempunyai masa sebelum temasya Olimpik berlangsung.
Dalam pada itu, walaupun prestasi pasukan badminton negara tidak konsisten ketika ini, Hamidin tetap optimis bahawa mereka akan mempamerkan peningkatan kerana mereka masih mempunyai masa kira-kira setahun lagi.
“Saya masih lagi optimis kerana kita ada masa setahun lagi. Apabila mereka pulang ke tanah air nanti, saya akan mengadakan satu pertemuan dengan pasukan badminton negara secara tertutup.”
Tambahnya lagi, dalam tempoh setahun ini beliau berkata adalah proses untuk pamerkan peningkatan dan tidak boleh kecewa.
“Apabila kita telah bersedia untuk pergi ke Olimpik, insyaAllah pemain-pemain ini akan layak Olimpik. Kita kena bagi latihan dan kerja yang kuat.”
Sementara itu, Hamidin turut berkata sebagai CDM kontinjen negara beliau harus kekal positif dan berharap pemain tidak mengalah sebelum berjuang.