Tan Cheng Hoe bakal pulang ke KDA FC?
Ketika meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe memberitahu bahawa beliau mahu berehat seketika dari dunia bola sepak.
Cheng Hoe juga memberitahu beliau masih tidak mempunyai perancangan untuk masa depan. Tetapi kini timbul desas-desus yang mengatakan beliau bakal pulang ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak lama lagi.
Berita kepulangan Cheng Hoe ke Darul Aman kini menjadi perbualan dikalangan peminat-peminat Hijau Kuning di media sosial.
Cheng Hoe dikatakan bakal kembali ke Kedah sebagai Pengarah Teknikal skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Tidak banyak butiran yang diketahui buat masa ini tetapi terdapat segelintir peminat Hijau Kuning yang gembira dan kurang senang dengan khabar angin terbaru ini.
Terdahulu Cheng Hoe telah meletak jawatan selepas skuad Harimau Malaya tersingkir awal dari saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Nasib Cheng Hoe sepatutnya akan diketahui selepas laporan ‘post-mortem’ FAM dibentangkan, tetapi sebaliknya berlaku apabila Cheng Hoe ambil keputusan untuk letak jawatan sebelum laporan dibentangkan.
Beliau berkata keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat olehnya sendiri tanpa desakan oleh mana-mana pihak.
Beliau juga menafikan dirinya adalah ‘kambing hitam’ FAM, sebaliknya bersikap ‘gentleman’ bertanggungjawab atas prestasi teruk pasukan negara.