E. Elavarasan akui belum ada bayangan 20 pemain terakhir ke Sukan SEA 2023
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan memberitahu bahawa beliau masih belum mempunyai bayangan 20 pemain terakhir yang akan dipilih untuk ke temasya Sukan SEA 2023 Kemboja nanti.
“Belum ada lagi,”
ujarnya ringkas.
Pada 19 April lalu, Elavarasan telah memanggil seramai 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi temasya Sukan SEA yang akan berlangsung pada bulan Mei ini.
Elavarasan dan barisan kini mempunyai tempoh lebih kurang tiga hari lagi untuk membuat keputusan seramai 20 pemain yang akan dibawa yang mana mereka dijadualkan akan terbang ke Kemboja pada 2 Mei ini.
“Hari ini hari pertama kita kumpulkan skuad ini dan ada pemain-pemain yang semalam ada perlawanan datang hari ini dalam proses recovery, tapi sekurang-kurangnya bagus kita dapat kumpulkan pemain-pemain ini.
Cuma kita tidak dapat pemain seperti Luqman Hakim dan Nooa Laine. Kita masih kekalkan skuad yang kita guna masa Piala Merlion baru-baru ini dan kita tambah Mukhairi Ajmal dan dua tiga pemain baru.”
Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos pada 3 Mei, kemudian menentang Thailand pada 6 Mei, Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan bertemu Singapura pada 11 Mei.
Skuad negara dalam misi penting untuk cuba menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas dalam acara bola sepak lelaki.
Kali terakhir skuad negara berjaya memenangi pingat emas adalah pada tahun 2011 dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.