CikuGais yakin Todak akan julang MPL MY musim ini

222

Selepas berjaya bantu pasukannya berjaya mara ke perlawanan akhir, CikuGais menyuarakan keyakinannya bahawa pasukan Todak mampu untuk menjulang trofi Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11 ini.

“Saya yakin Todak akan menang pada musim ini. Musim lepas kami tiada rezeki nak menang ‘back to back’, namun untuk musim ini saya yakin kami mampu menang dan insyaAllah untuk musim depan juga kami mampu menang,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas pasukannya Todak telah mengesahkan slot mereka ke Grand Final MPL MY musim ini selepas menewaskan satu lagi pasukan pilihan Homebois 3-2.


Pada perlawanan tersebut juga menyaksikan CikuGais telah dinobatkan sebagai MVP dalam perlawanan itu.

Dalam pada itu, walaupun gembira dinobat sebagai MVP, beliau merasakan gelaran itu sepatutnya diberikan kepada rakan sepasukannya Momo yang dikatakan lebih layak berbanding dirinya.

“Secara total saya tidak setuju dengan pemilihan MVP kerana dari hari pertama kami di sini saya rasa Momo lebih layak kerana jika anda lihat dalam mana-mana perlawanan Momo yang banyak menggerakkan perlawanan.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perubahan format MPL MY musim ini, penganalisis pasukan, Ajim tiada masalah dengan format baru tetapi berharap pihak penganjur akan melakukan sedikit perubahan.

“Untuk saya format liga itu saya okay, mungkin selepas ini boleh buat timbal balik sebab kesian satu pasukan dapat satu peluang sahaja.

Kalau di MPL Filipina dan MPL Indonesia mereka akan bermain dua kali secara timbal balik jadi ia lebih baik. Untuk format playoff pula saya secara peribadi harap ia akan bermula dengan Best of 5 dan bukannya Best of 3.

Sebab kalau kita masuk MSC pun mereka akan gunakan Best of 5 supaya kita dapat buat persiapan dari segi mentaliti, stamina dan endurance pemain untuk bermain dengan lebih lama.”