Saingan Floorball di Sukan SEA 2023 lebih mencabar dengan pasukan lawan diperkuat pemain ‘import’ – Khor Kuan Yang
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Floorball, Khor Kuan Yang mengakui saingan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja kali ini lebih mencabar berbanding edisi lalu apabila ada pasukan lawan kini diperkuat dengan pemain ‘import’.
“Lebih mencabar kerana pasukan lawan lebih kuat sebagai contoh pasukan Filipina yang kami temui pada edisi lalu pada perlawanan perebutan pingat gangsa diperkuat dengan beberapa pemain yang mempunyai dwi passport dari Eropah.
Pada tahun ini mereka hampir mempunyai skuad penuh pemain ‘import’. Pasukan dari negara Asia Tenggara tetapi mereka buat pemilihan pemain di Eropah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada edisi 2019, skuad negara berjaya memperoleh pingat gangsa selepas menewaskan Filipina 7-4 dalam penentuan tempat ketiga.
Biarpun menyedari bakal berdepan misi sukar pada temasya kali ini, beliau tetap optimis dengan sasaran untuk cuba membawa pulang pingat untuk kontinjen negara.
Tambahnya lagi, persiapan pasukan kini sudah hampir 100% siap dan kesemua pemain kini berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk turun beraksi selepas menjalani kem latihan pusat sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berharap pasukan dapat memperoleh kejayaan di temasya dwitahunan supaya ia dapat membuka lebih banyak pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan dana bagi mengembangkan lagi sukan Floorball ini di Malaysia.
“Pada tahun 2015 ketika sukan Floorball diperkenalkan ia mendapat sambutan menggalakkan apabila banyak sekolah di Pulau Pinang memperkenalkan sukan ini kepada pelajar.
Namun pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur kita tidak dapat pertandingkan sukan ini ia menyebabkan sambutan menurun. Bagaimanapun selepas kita berharap tahun 2019 akan menjadi tahun kebangkitan selepas kita berjaya cipta kejayaan Sukan SEA, malangnya pandemik COVID-19 melanda.
Jadi sekarang ini kita cuba untuk bangkit semula kerana dalam tempoh dua ke tiga tahun ini pemain lain ini sudah berusia dan kita tidak dapat lahirkan pemain-pemain baru. Oleh itu kita perlu mula semula.”
Bagi yang tidak mengetahui mengenai sukan Floorball, ia adalah sukan yang diinspirasikan dari hoki ais dengan peraturan 80% hampir sama seperti hoki ais, namun ia lebih selamat.
Sementara itu, beliau berharap agar sukan Floorball akan semakin diterima dengan sekolah-sekolah di seluruh negara akan memperkenalkan sukan ini di sekolah mereka untuk pembangunan akar umbi.
Dengan adanya program pembangunan akar umbi ini, skuad negara akan mempunyai lebih banyak pilihan pemain.