Kombinasi pemain senior dan baru mantapkan lagi pasukan Floorball negara untuk pastikan pingat Sukan SEA 2023 dalam genggaman

230

Temasya Sukan SEA 2023 bakal membuka tiranya beberapa hari sahaja lagi dan pasukan kebangsaan Floorball kini dalam fasa terakhir persiapan sebelum terbang ke Kemboja pada 9 Mei ini.

Pada Sukan SEA edisi lalu, pasukan kebangsaan lelaki telah berjaya memperoleh pingat gangsa selepas berjaya menewaskan Filipina 7-4 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.


Untuk edisi kali ini, pasukan kebangsaan akan tampil dengan lebih mantap apabila kini menampilkan kombinasi pemain senior dan pemain baru.

“Gabungan pemain senior dan baru pada kali ini lebih bagus kerana kalau pemain senior mereka sudah terbiasa dengan cara permainan lama, namun dengan kehadiran pemain-pemain baru ini corak permainan akan menjadi lebih berbeza.

Ini kerana kita dapat ajar untuk bermain dengan cara dan taktikal baru yang mana ia akan beri kelebihan buat kami, pada masa sama sedikit mencabar buat untuk pemain baru tapi saya yakin mereka mampu,”

ujar ketua pasukan Zephaniah Chong kepada Harimau Malaya.

Bagi pemain penyerang negara Tristan James pula, beliau melihat kehadiran pemain-pemain baru ini akan membawa nafas baru kerana mereka mempunyai skil yang tinggi selain akan meningkatkan intensiti perlawanan.

“Sama seperti apa yang diperkatakan oleh Zephaniah tadi. Bagi saya pemain-pemain baru ini mempunyai skil yang tinggi dan bermain dengan pantas. Jadi kami sebagai pemain senior akan cuba menyesuaikan diri untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.”

Dalam pada itu, Zephaniah berkata sasaran untuk temasya tahun ini adalah mereka mahu mengekalkan pingat yang dimenangi oleh mereka pada edisi lalu atau mungkin dapat pingat perak atau emas.

“Sasaran kami adalah untuk sekurang-kurangnya dapat pingat, warna pingat tidak kisah tapi kalau dapat pingat perak atau emas lebih baik. Tapi kalau sasaran realistik kita mahu dapatkan pingat gangsa.”

Dalam pada itu, beliau mengakui Sukan SEA kali ini akan menjadi lebih mencabar apabila ada pasukan yang akan menggunakan ramai pemain ‘import’ dari Eropah berbanding edisi lalu.

Zephaniah bagaimanapun berkata ia tidak langsung melunturkan semangat para pemain, sebaliknya mereka lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan mereka di Kemboja nanti.