Pasukan ini ada satu ‘bonding’ yang istimewa – Syafiqah Zainal
Pemain Malayan Tigress, Syafiqah Zainal mengakui bahawa skuad negara mempunyai satu pertalian yang amat rapat dan sering memberi motivasi kepada satu sama lain.
Katanya, mereka banyak meluangkan masa bersama-sama dan ia menjadi salah satu penguat semangat bagi menghadapi Sukan SEA 2023.
“Walaupun saya kenal ramai pemain dalam skuad ini, ada juga sesetengah pemain yang saya tidak kenal tetapi pertalian dalam skuad ini memang saya suka.
Untuk menentang pasukan kuat seperti Vietnam dan Filipina sudah tentu saya gementar tetapi kita banyak luangkan masa bersama untuk kurangkan perasaan itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelasnya, ini merupakan permulaan kepada pasukan bola sepak wanita negara dalam mengejar sasaran untuk menjadi pasukan yang baik.
Beliau berharap dapat melakukan yang terbaik pada kejohanan itu dan berjuang sebaik mungkin demi negara.
“Jika kita tidak menang lawan Vietnam nanti pasti akan rasa kecewa tetapi bagi saya ini adalah permulaan bagi kami.
Sasaran kami adalah untuk menjadi sebuah pasukan yang mampu beri saingan kepada pasukan-pasukan lain pada masa hadapan.”
Tambahnya, mereka telah berlatih dengan baik dan berjaya menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Soleen Al-Zou’bi.
Malayan Tigress yang diundi dalam kumpulan A akan turun pada perlawanan pertama menentang Vietnam pada 3 Mei, sebelum bertemu Filipina (6 Mei) dan juga Myanmar (9 Mei).