Walaupun digelar ‘kumpulan maut’, persaingan tetap terbuka untuk semua pasukan – E. Elavarasan

159

Ketua jurulatih skuad bola sepak B-22 kebangsaan, E. Elavarasan merasakan saingan dalam kumpulan B Sukan SEA 2023 terbuka untuk semua pasukan walaupun dianggap sebagai ‘kumpulan maut’.

Beliau berkata walaupun Vietnam dan Thailand dianggap sebagai pasukan pilihan, Malaysia tidak boleh memandang rendah keupayaan dua pasukan lain iaitu Laos dan Singapura.


“Saya lihat persaingan dalam kumpulan ini adalah terbuka walaupun ada bekas juara, tetapi kali ini tiada pemain lebih umur jadi pada pendapat saya peluang untuk semua pasukan adalah sama.

Sasaran untuk perlawanan pertama menentang Laos pastinya menang tetapi kadang-kadang perlawanan pertama boleh jadi sukar, mereka pun baru tewas perlawanan pertama jadi pasti mahu menang,”

katanya.

Elavarasan percaya anak-anak buahnya mempunyai skil dan kebolehan tersendiri untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam kumpulan itu

Dalam pada itu, beliau telah mempersiapkan para pemain untuk beraksi dalam cuaca panas dalam beberapa sesi latihan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi cuaca panas di Kemboja.

Tambahnya, mereka akan menjalani satu lagi sesi latihan di Kemboja sebelum turun menentang Laos pada esok hari.

“Apabila kita sampai nanti ada satu lagi sesi latihan, kemungkinan kita nak siapkan pemain untuk biasakan diri dengan cuaca panas di sana.

Saya rasa dalam tiga hari ini pun kita dah biasakan mereka berlatih di bawah cuaca yang panas, lagipun panas kita saya rasa lebih kurang saja.”

Beliau berkata, pasukan kali ini yang dibarisi dengan ramai pemain yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super memberi satu semangat yang lain.

Malaysia akan turun menentang Laos di Stadium Prince, Phnom Penh pada pukul 7 malam waktu tempatan (8 malam Malaysia).