Tak berjaya di Sri Pahang FC, namun pasukan B-22 Vietnam nampak bakat Christophe Gamel
Selepas berehat lama daripada arena bola sepak, bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel memulakannya khidmatnya dengan skuad B-22 Vietnam sebagai pembantu kepada ketua jurulatih, Phillipe Troussier.
Gamel akan bertemu dengan pasukan Malaysia kerana diundi bersama-sama dalam Kumpulan B.
Beliau pasti mempunyai sedikit ilmu pengetahuan mengenai pasukan Malaysia kerana mempunyai pengalaman di negara ini yang boleh memberi sedikit kelebihan kepada skuad Vietnam.
Malaysia harus berhati-hati dengan pengalaman yang dimilikinya itu kerana ia mungkin boleh menjadi duri dalam daging buat pasukan negara, lebih-lebih lagi mereka mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di temasya Sukan SEA edisi lalu.
Walaupun prestasi beliau tidak cukup baik bersama Sri Pahang, hanya dua kemenangan sahaja dalam 11 perlawanan, beliau tetap menjadi pilihan Vietnam yang merupakan salah satu pasukan terkuat di Asia Tenggara.
Ini menunjukkan bahawa bakatnya diperakui oleh pasukan seperti Vietnam, tetapi mungkin ketika di Sri Pahang beliau mempunyai cabaran tertentu yang membuatkannya tidak berjaya.
Malaysia akan bertemu Vietnam pada 8 Mei ini dan Gamel pastinya mempunyai misi tersendiri pada perlawanan itu untuk membuktikan dirinya kepada peminat bola sepak Malaysia.