Khairul Fahmi ajar anak supaya tak lupa asal usul, contoh baik buat anak muda masa kini
Dalam tempoh berehat Liga Malaysia, ramai pemain mengambil peluang untuk recharge. Ada yang pergi bercuti bersama keluarga dan ada yang pulang ke kampung.
Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai ‘Apek’ oleh peminat bola sepak tempatan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halamannya.
Baru-baru ini, Apek berkongsi di Instastory-nya aktiviti yang dilakukan di kampung halaman bersama dua anaknya menunggang motor dan pergi tapak yang pernah menjadi rumah semasa zaman kanak-kanaknya di Kelantan.
Dalam hantaran itu, Apek berkata kepada anak-anaknya, “Rumah daddy masa kecil-kecil dulu. Ingat asal usul, ingat kita orang kampung saja,”
Walaupun Apek kini bermain bersama Sabah FC dan menjadi antara seorang pemain bola sepak terkemuka negara, beliau masih tidak lupa asal usulnya dan menghargai perkembangan kariernya semasa bersama dengan Kelantan FC.
Ini adalah satu perkara yang amat penting buat mana-mana individu lebih-lebih lagi anak muda zaman sekarang untuk tidak melupakan asal-usul mereka.
Apa yang turut membanggakan adalah, beliau juga tidak lupa untuk mendidik nilai murni itu kepada anak-anaknya.
Perkara sama juga ditunjukkan oleh pemain Selangor FC, Faisal Halim yang juga baru-baru ini menyambut hari lahir anaknya dengan menjemput ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain yang pernah menjadi ‘sifu’nya ketika di Terengganu FC.
Ia seolah-olah menunjukkan penghargaannya kepada Nafuzi yang membentuk beliau menjadi antara pemain bintang di negara ini.
Walaupun sudah tidak lagi bersama, Faisal masih lagi memastikan hubungan yang amat baik dengan Nafuzi.
Ini adalah contoh yang baik buat semua orang di luar sana untuk tidak melupakan asal-usul serta orang yang pernah berjasa kepada kita.