‘Kuota’ lima kekalahan makin hantui Frank Bernhardt, dua perlawanan seterusnya jadi cabaran besar

338

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham pernah berkata bahawa ketua jurulatih, Frank Bernhadt akan dipecat jika pasukannya kalah sebanyak lima kali.

Selepas pelantikannya menggantikan Choi Moon-sik, Bernhardt sudah mencatatkan tiga kekalahan bersama Kelantan iaitu di tangan Selangor FC, Sabah FC dan Perak FC.


Bernhardt bakal berdepan cabaran dalam dua lagi perlawanan selepas ini apabila bakal bertemu Kedah Darul Aman FC yang mempunyai skuad yang kuat dan kemudian PDRM FC, yang dianggap sebagai pasukan kuda hitam pada musim ini.

Mungkin buat masa ini beliau boleh menarik nafas lega seketika kerana saingan Liga Super sedang berehat bagi memberi laluan kepada Sukan SEA.

Jika Kelantan kalah dalam dua perlawanan akan datang, apakah nasib yang akan menimpa dirinya? Adakah Zamsaham akan melepaskan beliau daripada jawatan ketua jurulatih dan mencari individu lain untuk menggantikannya.

Jika ia berlaku, mungkin Bernhardt akan kembali ke posisi beliau sebelum ini iaitu sebagai pengarah teknikal, dan Zamsaham dilihat sudah bersedia untuk mengotakan kata-katanya sekiranya pengendali dari Jerman itu tewas dalam dua perlawanan seterusnya.

Dalam satu hantaran Facebook, beliau ada mengatakan bahawa beliau mendengar luahan penyokong yang mahukan barisan teknikal dan kejurulatihan ditukar.

Beliau juga percaya Kelantan masih lagi mampu untuk mendapatkan sasaran mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 teratas.

Jadi tidak mustahil tempoh Bernhardt sebagai ketua jurulatih Kelantan akan tamat lebih awal daripada dijangka sekiranya pasukan itu terus mencatatkan kekalahan.

Selain itu, Zamsaham baru-baru ini cuba menenangkan kerisauan dan mendengar rintihan-rintihan penyokong yang tidak berpuas hati mengenai larangan membawa masuk kain rentang, tifo dan dram.

Beliau mengajak wakil penyokong untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak kelab tentang isu tersebut.

Dengan langkah untuk berjumpa dan berbincang ini, ia diharapkan boleh mencapai satu persefahaman antara pihak pengurusan dan penyokong Kelantan.

Pujian juga harus diberikan kepada Zamsaham kerana tidak bermusuhan dengan para penyokong yang merupakan nadi kelab, dan mahu memastikan suara mereka didengari.