Kolabrasi PFAM, MFL diharap mampu jaga kebajikan pemain dengan lebih baik, isu tunggakan gaji perlu diberi penekanan

141

Baru-baru ini, Malaysian Football League (MFL) serta Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menandatangani satu perjanjian kolaborasi antara kedua-dua pihak.

Jelas MFL, perjanjian itu adalah untuk mewujudkan sistem perlindungan hak para pemain bola sepak profesional serta menjaga hak kepentingan kelab bola sepak yang bermain di dalam Liga Malaysia.


Dengan kerjasama antara PFAM dan MFL ini, ia diharap dapat membawa prospek bola sepak negara ke arah yang lebih baik dan isu-isu melibatkan hak dan kebajikan pemain dapat ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

Antara yang perlu diberi penekanan adalah mengenai isu tunggakan gaji yang sudah menjadi barah dalam bola sepak tempatan.

Dua pasukan yang menghadapi isu itu musim lalu, Melaka United FC dan Sarawak United FC sehingga kini dilaporkan masih belum menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

Walaupun telah didenda oleh pihak MFL dan beberapa kali diberi teguran oleh PFAM, kedua-dua pasukan itu nampaknya masih belum lagi insaf.

Selepas ini, MFL dan PFAM boleh bekerjasama dengan lebih mudah dalam memastikan apa yang berlaku di Melaka United dan Sarawak United tidak berulang lagi, dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan paling tegas.

Selain daripada itu, kebajikan pemain yang sudah bersara haruslah dibela dengan sebaik mungkin kerana kita tidak mahu lagi mendengar kisah bekas pemain yang hidup susah selepas bersara.

Bukan itu sahaja, kebajikan pemain yang cedera juga harus diberi perhatian supaya tiada pemain yang terabai dan tidak mendapatkan rawatan sepatutnya apabila mereka cedera.

Di luar negara, badan seperti PFAM amat mementingkan perkara ini dan menyediakan pelan insurans kepada para pemain sebagai langkah berjaga-jaga.