Kim Min-jae jadi pemain Korea Selatan pertama julang kejuaraan Serie A
Napoli baru sahaja menamatkan kemarau 30 tahun apabila berjaya menjulang kejuaraan Serie A walaupun perlawanan masih berbaki lima perlawanan.
Disebalik kejayaan Napoli, pemain pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae telah menjadi perhatian ramai terutamanya peminat bola sepak di rantau Asia.
Min-jae merupakan tonggak utama The Blues musim ini apabila berjaya menjadi pertahanan kental menyaksikan pasukan itu hanya bolos 23 gol sahaja selepas 33 perlawanan.
Selain kental dalam bertahan, beliau juga berjaya menjaringkan dua gol untuk pasukannya.
Kejayaan Min-jae ini menyaksikan beliau menjadi pemain dari Korea Selatan/Asia kedua berjaya menjulang kejuaraan di liga Top 5 Eropah.
Pemain pertama yang berjaya melakukannya adalah Park Ji-sung yang berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2010/11.
Dalam pada itu, kejayaan pemain ini sedikit sebanyak mencetuskan keterujaan peminat bola sepak Malaysia yang mana undian Piala Asia 2023 akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Apa yang membuatkan peminat teruja adalah pasukan kebangsaan berpeluang untuk diundi bersama pasukan Korea Selatan sekaligus memberi peluang buat penyerang Harimau Malaya untuk menguji kehebatan Min-jae.
Selain Min-jae, peminat turut teruja sekiranya diundi bersama sebuah lagi pasukan gergasi Asia iaitu Jepun yang mana pasukan itu dibarisi pemain berkualiti termasuk bintang Brighton Hove & Albion, Koaru Mitoma.
Samada Jepun atau Korea Selatan, skuad negara akan menimba pengalaman yang cukup berharga sekiranya dapat bertemu dengan salah sebuah pasukan ini yang mana mereka adalah pasukan yang beraksi di Piala Dunia.
Sementara itu, satu fakta menarik yang mungkin ramai tidak tahu adalah Min-jae merupakan bekas anak didik kepada Shin Tae-yong yang kini merupakan ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan Indonesia.