Sharbinee Allawee masih lagi dalam keadaan terbaik untuk terus beraksi di Liga Super

295

Bekas penjaga gol kebangsaan dan Sarawak United FC, Sharbinee Allawee mengakui beliau masih belum mempunyai kelab baru pada musim ini selepas kontraknya tamat bersama kelab dari Borneo itu tamat pada hujung musim lalu.

Walaupun saingan Liga Super sudah pun bermula, namun beliau masih berharap dan bersedia untuk kembali beraksi sekiranya khidmatnya diperlukan pada jendela perpindahan kedua pada awal Julai nanti.


“Sekarang ini saya masih lagi tiada pasukan. Baru-baru ini saya ambil lesen kejurulatihan dan kini lebih ke arah itu.

Tapi kalau ada pasukan yang masih mahukan khidmat saya, saya akan kembali,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, dengan pasukan kebangsaan B-22 kendalian ketika ini sedang beraksi di temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, Sharbinee turut sempat berkongsi pengalaman beliau beraksi dan berjaya memenangi ibu segala pingat iaitu pingat emas di Sukan SEA 2009 di Laos.

Menurut penjaga gol berusia 36 tahun itu, skuad negara yang ketika itu dibawah kendalian Datuk K.Rajagobal tidak diletakkan sebarang harapan langsung untuk memperoleh kejayaan di temasya dwi tahunan itu, malah ketika itu mereka diletakkan dalam Kategori B.

“Setahu saya rasanya hampir 20 tahun kita tidak dapat pingat dalam sukan bola sepak, jadi ketika itu kami berada dalam Kategori B.

Kita pun tak jangka dengan rezeki itu, jadi dengan berkat dan usaha serta doa daripada peminat Malaysia semua kita dapat juga pingat emas itu.”

Tambahnya lagi, walaupun tidak diletakkan sebarang harapan termasuk disenarai dalam Kategori B menjadi pembakar semangat buat mereka untuk bermain bermati-matian untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Bagi yang tidak mengetahui, perbezaan antara kedua-dua kategori ini adalah bagi Kategori A pihak MOM akan menanggung kesemua kos penyertaan, manakala untuk Kategori B pula ditanggung sendiri oleh atlet atau persatuan sukan, tetapi akan dibayar balik sekiranya mereka berjaya bawa pulang pingat.

Sharbinee turut berkongsi kisah menarik mengenai situasi yang berlaku dalam kem negara ketika seorang lagi penjaga gol Farizal Marlias dikenakan kad merah.

“Okay saya rasa ini yang menarik kerana saya tak pasti peminat Malaysia atau tak. Ketika itu memang penjaga gol saya dan Farizal sahaja. Tapi pada satu perlawanan beliau dikenakan kad merah.

Jadi coach letak saya untuk main tapi masa itu kita tak ada penjaga gol ketiga dan ketika itu peminat tak tahu siapa penjaga gol ketiga negara. Masa itu Baddrol Bakhtiar jadi saya punya ‘back up’ kerana beliau mempunyai pengalaman bermain di posisi itu.”

Sementara itu, skuad Harimau Muda yang kini berada di Kemboja diharap dapat meneruskan rentak kemenangan mereka apabila menentang Thailand esok selepas membuka tirai Kumpulan B dengan cemerlang selepas membelasah Laos 5-1.