Kelantan United FC kelab yang lebih sesuai buat Aidil Shahrin berbanding Kelantan FC
Nama bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Shahrin Sahak hangat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Malaysia selepas beliau mendedahkan dirinya mendapat tawaran daripada sebuah pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur.
Menurut laporan Astro Arena, ketua jurulatih pasukan Liga 1 Indonesia, Persikabo itu sedang mempertimbangkan tawaran itu dan telah meminta tempoh dua minggu untuk membuat keputusan, di mana hujung minggu ini merupakan tempoh terakhir untuk beliau memberikan jawapan.
Aidil juga turut menafikan beliau mendapat tawaran daripada pasukan Terengganu, tetapi ada mendengar daripada ejennya bahawa pasukan itu berminat mendapatkannya.
Berdasarkan keadaan semasa pasukan Kelantan dan Kelantan United yang mungkin sedang dalam perancangan untuk mendapatkan ketua jurulatih baharu memandangkan satu lagi pasukan, Sri Pahang kini sedang menampilkan prestasi yang baik di bawah Fandi Ahmad.
Nasib Frank Bernhardt bersama Kelantan dilihat masih samar-samar berikutan beliau sudah mencatatkan tiga kekalahan, dan pemilik pasukan, Zamsaham sebelum ini pernah berkata bahawa beliau akan direhatkan sekiranya mencatatkan lima kekalahan.
Pasukan Kelantan United pula yang kini di bawah bimbingan ketua jurulatih interim, Nazrulerwan Makmor masih belum mendapatkan pengganti tetap buat Tomas Trucha yang direhatkan awal bulan lalu.
Namun, antara kedua-dua pasukan ini, Kelantan United dilihat sebagai pasukan yang lebih sesuai buat Aidil sekiranya beliau membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia.
Ini kerana, jika dilihat dari segi kestabilan, Kelantan United boleh dikatakan lebih stabil berbanding Kelantan yang ketika ini berdepan dengan pelbagai isu.
Jadi, beliau tidak akan berdepan tekanan daripada isu luar dan boleh melatih pasukan tanpa memikirkan mengenai masalah yang berlaku di luar padang.
Selain itu, jika bersama Kelantan United, beliau mempunyai lebih masa untuk membentuk pasukan kerana tekanan yang kurang berbanding di Kelantan.
Ketika di Kedah, beliau berjaya membentuk sebuah pasukan yang baik selepas diberi tempoh dan kepercayaan oleh pihak pengurusan.
Mungkin jika beliau berhijrah ke Kelantan, beliau akan diberikan masa atau tempoh tertentu seperti Bernhardt yang diberikan ‘kuota’ lima kekalahan.
Di Kelantan United juga, tekanan tidak begitu tinggi seperti di Kelantan kerana jangkaan serta kelompok penyokong yang tidak begitu besar.
Jadi beliau boleh melakukan perancangannya dengan lebih baik dan mungkin mengulangi apa yang dilakukannya bersama Kedah.
Beliau juga mempunyai pengalaman di Liga Malaysia, jadi beliau tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan gaya permainan di Malaysia.
Selain itu, pilihan untuk meninggalkan Persikabo mungkin pilihan yang baik memandangkan beliau dulu pernah dikecam dan ‘diusir’ oleh pemnyokong Persikabo yang tidak berpuas hati dengan persembahnnya membimbing pasukan itu.
Pencapaian baik beliau bersama Kedah dilihat menjadi salah satu sebab beliau masih lagi menjadi buruan pasukan di Malaysia walaupun baru setengah tahun meninggalkan negara ini.
Ketika bersama Kedah, beliau berjaya meraih trofi Piala FA pada musim pertamanya, dan menjadi pasukan yang memberi saingan paling sengit buat JDT selama dua musim di tangga kedua, sebelum prestasi pada musim lalu sedikit hambar membuatkannya dipecat.