Selepas Kim Pan-gon, mungkin FAM buka peluang pada jurulatih lain untuk timba pengalaman di Eropah
Selepas Kim Pan-gon, mungkin FAM buka peluang pada jurulatih lain untuk timba pengalaman di Eropah
Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya melawat beberapa kelab di Sepanyol dan juga di England.
Antara kelab yang dilawati oleh mereka adalah gergasi Barcelona, West Ham United dan Brighton & Hove Albion di mana mereka sempat untuk menyaksikan sesi latihan pasukan selain bertukar pandangan serta menimba ilmu.
Ia adalah satu usaha yang cukup baik oleh FAM yang mana ia akan memberi manfaat kepada bola sepak negara.
Mungkin selepas ini FAM akan teruskan program ini dengan memberi peluang kepada jurulatih tempatan seperti Osmera Omaro, Petronella Douny dan beberapa jurulatih terpilih dibawah naungan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
Sekiranya jurulatih-jurulatih tempatan mendapat peluang untuk menimba ilmu di Eropah, ia secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam meningkatkan lagi prestasi pasukan masing-masing.
Ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti liga domestik sekaligus akan turut memberi impak positif pada pasukan kebangsaan.
Terdahulu, Presiden PJBM, B. Sathianathan dalam satu kenyataan media menyuarakan rasa terkilannya apabila tiada jurulatih tempatan yang dibawa ke Sepanyol dan England.
Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar tempatan berkata sekiranya jurulatih tempatan mendapat peluang itu ia pastinya dapat mematangkan mereka.
Apa yang disuarakan oleh bekas ketua jurulatih kebangsaan itu adalah sesuatu yang boleh diambil maklum oleh FAM kerana bantuan seperti ini pastinya dapat membantu perkembangan bola sepak tanah air.