Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak – Soleen Al-Zoubi
Selepas tewas dalam perlawanan pertama Kumpulan A di tangan Vietnam 3-0, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Soleen Al-Zoubi berkata beliau sudah membuat analisis dan akan memperbaiki kesilapan yang dilakukan untuk perlawanan kedua esok.
Skuad Malayan Tigress akan turun menentang pasukan Filipina pada perlawanan kedua di Sukan SEA 2023 di Kemboja untuk cuba mendapatkan keputusan positif.
“Kita sudah bermain perlawanan pertama dan sudah pastinya sukar kerana ada segelintir pemain bermain buat kali pertama tapi kini kami mempunyai lebih masa untuk membuat analisis dan perbaiki kesilapan kami untuk perlawanan kedua.
Pemain juga bersemangat dan saya berharap esok kita akan mendapat keputusan positif,”
katanya.
Soleen juga menyedari bahawa pasukannya bakal berdepan cabaran yang cukup sengit esok kerana Filipina adalah sebuah pasukan yang kuat di mana mereka adalah pasukan yang akan bermain di Piala Dunia nanti.
Beliau bagaimanapun tetap optimis dengan peluang pasukannya dalam perlawanan esok.
“Kita tahu Filipina akan bermain dengan ‘full power’. Peluang kita? Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Kami akan fokus pada perlawanan menentang Filipina terlebih dahulu sebelum fikir perlawanan seterusnya.”
Skuad negara masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir, namun mereka berdepan tugas sukar kerana perlu menang pada perlawanan Filipina esok dan juga perlu menang apabila menentang Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan pada 9 Mei ini.
Dalam pada itu, sasaran Malayan Tigress pada temasya Sukan SEA kali ini bukannya pada keputusan semata-mata, sebaliknya Soleen mahu melihat prestasi pemain apabila menentang pasukan gergasi.
Skuad kendalian beliau ketika ini adalah skuad yang baru dibentuk dan memerlukan masa untuk menjadi sebuah pasukan yang ampuh.