Zamsaham enggan beri ‘hint’ pemain yang dipinjam kerana bimbang timbul polemik

811

Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman memberitahu bahawa beliau enggan memberi bayangan pemain-pemain yang bakal dipinjam dari kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua nanti.

Menurut Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Boss Zam berkata, beliau mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu menimbulkan sebarang polemik.


“Tiada ‘hint’. Saya tak mahu ada polemik pasal pemain buat masa ini,”

jawabnya ringkas kepada Harimau Malaya.

Rata-rata peminat The Red Warriors kini teruja apabila Boss Zam sebelum ini dalam satu kenyataan di media sosialnya yang bertanyakan peminat siapan pemain dari JDT yang mereka mahu pinjam sekiranya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris perkenan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemilik JDT baru-baru ini di mana baginda turut menghadiahkan dua ekor kuda kepadanya.

Dalam pada itu, Boss Zam turut mengakui bahawa pengurusan kelab itu kini sedang dalam proses rombakan demi kebaikan pasukan.

“Saya sedang perkemas pengurusan itu benar.”

Terdahulu, pasukan yang baru naik ke Liga Super itu terpalit dengan beberapa kontroversi apabila ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik telah dipecat susulan prestasi hambar yang dipamerkan oleh pasukan itu.

Selain itu, turut timbul isu membabitkan tunggakan gaji pemain yang mana Boss Zam telah tampil menafikan perkara itu.

Pada masa sama, bekas pemainnya iaitu Carli de Murga turut menyuarakan rasa tidak puas hati dan gembira sejak menyarung jersi pasukan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab itu lebih awal selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan.

Apa pun berlaku, diharap peminat Kelantan akan terus beri sokongan buat Boss Zam dan pasukan kesayangan kerana mereka perlu sedar sekiranya Boss Zam tidak mengambil alih pasukan itu, sudah lama Kelantan sudah terkubur.

Kita harapkan pada pusingan kedua Liga Super nanti pasukan itu akan tampil lebih mantap dan memperlihatkan peningkatan.