Kekalahan di saat-saat akhir buat pemain lebih bersemangat untuk menang perlawanan terakhir – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Soleen Al-Zoubi memberitahu bahawa pemainnya kini lebih bersemangat untuk perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Myanmar pada 9 Mei ini.
Soleen berkata ia susulan kekalahan di saat-saat akhir 1-0 kepada Filipina baru-baru ini.
“Saya harap esok pemain akan pamer aksi terbaik mereka sepanjang temasya ini. Pemain-pemain kini bersemangat tinggi.
Kalah pada Filipina di saat-saat akhir memang sesuatu yang mengecewakan tetapi ia memberi motivasi kepada anak buah saya untuk menang perlawanan terakhir,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa beberapa pemainnya mengalami kecederaan, namun hanya kecederaan ringan dan boleh diturunkan pada perlawanan esok.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan akan melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama.
“Untuk barisan pemain, saya mungkin akan buat sedikit perubahan tapi akan terus mengekalkan pemain yang beraksi sebelum ini.
Saya juga ada melihat beberapa pemain yang dibawa masuk pada separuh masa kedua mempamerkan aksi yang baik, jadi semua pemain mempunyai peluang untuk perlawanan esok.”
Terdahulu, skuad Malayan Tigress hampir melakukan kejutan apabila berjaya mengikat pasukan Filipina yang layak ke Piala Dunia tanpa jaringan sehingga ke penghujung perlawanan, tapi terpaksa akur dengan gol di saat-saat akhir sekaligus meranapkan impian mereka untuk mengutip satu mata.
Ia adalah kekalahan kedua skuad negara selepas tewas 3-0 di tangan Vietnam pada perlawanan pertama.