Nasib Harimau Muda mungkin berbeza jika ada Luqman Hakim, Arif Aiman & Feroz Baharudin
Pasukan Indonesia di Sukan SEA 2023 mendapat perhatian ramai selepas mereka mempamerkan prestasi cemerlang apabila mara ke separuh akhir, sekaligus berada di landasan tepat untuk merebut pingat emas di temasya itu.
Indonesia cemerlang kerana kehadiran dua pemain Pratama Arhan (Tokyo Verdy di Jepun) dan Marselino Ferdinan (K.M.S.K Deinze di Belgium) turut perkuat pasukan, malah penolong ketua jurulatih Nova Arianto turut mengakui kedua-dua pemain itu memberi impak besar buat pasukan.
Berbeza pula dengan pasukan Malaysia yang tidak bernasib baik apabila kekalahan kedua di tangan Vietnam semalm telah menyaksikan skuad kendalian E. Elavarasan itu sah tersingkir awal dari temasya dwi tahunan itu.
Kegagalan skuad Harimau Muda ini menyaksikan sasaran yang diletakkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir tidak dapat dicapai.
Berdasarkan kenyataan Nova Arianto mengenai kehadiran dua pemain dari luar negara yang memberi impak besar, adakah nasib skuad B-22 negara juga mungkin akan berubah sekiranya Elavarasan turut menyenaraikan Luqman Hakim, Arif Aiman dan Feroz Baharudin dalam skuad ke Sukan SEA.
Semua sedia maklum dengan kemampuan Luqman Hakim sebagai penyerang kebangsaan, namun untuk temasya kali ini beliau tidak dapat menyertai skuad negara kerana tidak mendapat pelepasan kelabnya FC Njardvik di Iceland kerana saingan liga di sana baru bermula.
Tidak seperti di K.V. Kortrijk, bersama Njardvik pemain berusia 21 tahun mendapat tempat dalam skuad utama dan beliau sudah pun membuat penampilan dalam perlawanan pertama saingan liga yang baru sahaja bermula.
Luqman juga sudah diturunkan sebanyak dua kali dalam perlawanan piala di mana beliau bukan sahaja mendapat minit permainan sebanyak 105 minit, tetapi juga sudah membuka akaun jaringannya bersama kelab barunya itu.
Bagaimana pun untuk dua lagi pemain muda berbakat besar iaitu Arif Aiman dan Feroz Baharudin mereka sebenarnya boleh menyarung jersi Harimau Muda kerana kedua-dua pemain itu bermain bersama kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Super.
Pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah memberi rehat selama dua minggu kepada Liga Super dan Piala MFL bagi memberi laluan kepada skuad negara yang akan beraksi di Sukan SEA.
Jika kedua-dua pemain itu dapat dibawa ke Kemboja, pastinya mereka akan memberikan impak yang cukup besar buat pasukan kebangsaan.
Ini kerana kedua-dua pemain ini adalah pemain utama skuad Harimau Selatan ini yang mana mereka menjadi tonggak utama dalam kejayaan pasukan itu mendominasi saingan liga pada musim ini apabila mereka masih mengekalkan rekod bersia 10 kemenangan berturut-turut.
Tidak perlu diperkenalkan lagi Arif Aiman kerana beliau merupakan pemain paling bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebanyak dua kali berturut-turut, jadi kehebatan beliau tidak dapat dinafikan lagi.
Walaupun ramai yang mengatakan Arif hanya layak bermain bersama skuad senior sahaja, namun apa salahnya sekiranya beliau bantu skuad B-22 negara yang ternyata perlukan seorang pemain sayap/penyerang berbisa sepertinya.
Manakala Feroz pula, walaupun masih muda namun beliau telah berjaya membuktikan beliau lebih berkualiti apabila menjadi pilihan utama ketua jurulatih Esteban Solari untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Kekebalan beliau mengawal barisan pertahanan menyaksikan JDT hanya bolos satu gol sahaja dalam 10 perlawanan dan ia sudah cukup untuk buktikan kehadiran beliau di barisan pertahanan Harimau Muda akan memantapkan bahagian pertahanan negara.
Sudah pasti ada yang akan mengatakan tiada keperluan untuk kedua-dua pemain ini untuk menyertai skuad negara kerana temasya Sukan SEA tiada dalam kalendar FIFA, namun apa salahnya jika mereka turut serta untuk bantu pasukan kebangsaan.
Tambahan pula jika mereka turut serta, kedua-dua pemain ini juga dapat mengekalkan tahap kecergasan mereka apabila mendapat perlawanan kompetitif sekaligus akan membuatkan mereka bersedia apabila saingan liga kembali bersambung.
Tidak mustahil jika kedua-dua pemain ini turut serta, nasib skuad negara pastinya berbeza.