Pasukan manakah yang Malaysia akan temui dari Pot 2 di Piala Asia 2023
Jika semalam Harimau Malaya telah menyiarkan artikel mengenai pasukan-pasukan yang berada dalam Pot 3 untuk undian Piala Asia 2023, kali ini pula kita akan mengenali pula pasukan-pasukan dari Pot 2.
Berdasarkan susunan, pasukan yang berada dalam Pot 2 adalah lebih kuat berbanding Pot 3 yang mana ia terdiri dari pasukan Iraq (67), United Arab Emirates (72), Oman (73), Uzbekistan (74), China (81) dan Jordan (84).
Malaysia kini berada dalam Pot 4 bersama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong dan Indonesia.
Pasukan yang berada dalam Pot 4 pastinya akan diundi bersama pasukan dari Pot 1,2 & 3.
Menjelang undian yang akan mengambil tempat lagi dua hari, jom kenali pasukan-pasukan dalam Pot 2 yang mungkin akan menjadi lawan skuad kendalian Kim Pan-gon nanti.
Iraq
Pasukan Iraq bukan pasukan calang-calang kerana mereka mempunyai reputasi yang agak cemerlang di kejohanan Piala Asia kerana mereka merupakan bekas juara pada edisi 2007.
Mereka yang mula beraksi dalam kejohanan berprestij itu pada tahun 1972 tidak menunggu lama untuk memperlihatkan kekuatan mereka apabila berjaya memperoleh tempat keempat pada edisi kedua mereka dalam kejohanan itu.
Iraq kemudian mengambil keputusan untuk menarik diri dari kejohanan itu pada tahun 1980 hingga 1988, manakala pada tahun 1992 mereka dilarang untuk menyertai kejohanan itu dek berlakunya Perang Teluk.
Bagaimanapun pada edisi 1996 hingga 2004 mereka telah berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir, sebelum berjaya menjulang trofi itu pada tahun 2007.
Kejuaraan itu bagaimanapun gagal dipertahankan pada edisi 2011 apabila sekadar mara ke suku akhir. Pada edisi 2015 mereka berjaya menduduki tempat keempat dan pada tahun 2019 mereka sekadar berjaya mara sehingga pusingan 16 sahaja.
Untuk rekod pertemuan Iraq menentang Malaysia, ternyata mereka mempunyai kelebihan apabila sebanyak enam perlawanan yang diharungi mereka berjaya memenangi tiga perlawanan dan seri tiga perlawanan.
United Arab Emirates
Dalam Pot 2 kali ini terdapat beberapa pasukan dari Timur Tengah termasuk United Arab Emirates yang mempunyai rekod yang cemerlang pada dalam saingan Piala Asia dengan pencapaian terbaik mereka adalah menjadi naib juara pada edisi 1996.
Mereka yang mula bertanding dalam kejohanan ini bermula 1980 namun mereka sering kandas di peringkat kumpulan sehingga 1988.
Bagaimanapun pada 1992 mereka mengejutkan ramai apabila berjaya mara menduduki tempat keempat.
Mereka kemudian gagal mempertahankan kejuaraan mereka apabila gagal layak ke Piala Asia 2000, namun pada tahun 2004, 2007 dan 2011 mereka kembali tetapi perjuangan mereka berakhir di peringkat kumpulan sahaja.
Pada edisi 2015 UAE kembali bangkit untuk memperoleh tempat ketiga dan pada edisi lalu mereka berjaya menduduki tempat keempat.
UAE mempunyai rekod pertemuan yang banyak dengan Malaysia sebanyak 15 perlawanan dengan mereka berjaya menang 10 kali, seri dua kali dan hanya kalah sebanyak tiga kali sahaja.
Bagi peminat Harimau Malaya, pastinya mereka akan ingat tragedi hitam dibelasah 10-0 pada 2015 yang mana ia masih lagi menjadi sebutan peminat sehingga kini.
Oman
Mungkin pasukan Oman ini sering dipandang sepi oleh peminat bola sepak Malaysia, namun mereka sebenarnya merupakan sebuah pasukan yang cukup mantap dan ia dibuktikan dengan kedudukan FIFA ranking di mana mereka kini berada di tangga ke-74.
Oman bagaimanapun tidak mempunyai rekod yang baik dalam kejohanan Piala Asia apabila pencapaian terbaik mereka adalah pada edisi 2019 yang mana mereka berjaya layak ke pusingan 16.
Manakala tiga edisi sebelum ini mereka hanya sekadar bermain di peringkat kumpulan sahaja.
Namun untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, empat pertemuan di antara kedua-dua pasukan ini menjadi milik Oman apabila mereka berjaya menang dalam keempat-empat perlawanan itu.
Uzbekistan
Biarpun jarang mendapat perhatian, namun Uzbekistan mempunyai pasukan yang cukup mantap dan setaraf dengan pasukan-pasukan seperti Oman, UAE dan beberapa lagi.
Mereka juga berada dalam prestasi terbaik ketika ini apabila berjaya memperbaiki FIFA ranking dari tangga ke-77 kepada ke-74 ketika ini.
Sejak menyertai kejohanan Piala Asia pada tahun 1996, pencapaian terbaik mereka adalah berjaya menduduki tempat keempat pada edisi 2011.
Mereka juga pernah berjaya layak ke suku akhir sebanyak tiga kali, pusingan 16 sekali dan hanya kandas dua kali sahaja di peringkat kumpulan.
Uzbekistan juga mempunyai rekod yang cukup cemerlang bertemu dengan Malaysia apabila tujuh perlawanan yang pernah diharungi, mereka berjaya menang enam perlawanan dan hanya seri satu sahaja.
China
Negara China antara kuasa besar bola sepak Asia satu ketika dahulu apabila mereka mempunyai rekod yang cukup cemerlang.
Walaupun kedudukan FIFA ranking mereka jatuh satu anak tangga kepada 81 dunia, namun ia adalah disebabkan pandemik COVID-19 yang menyebabkan industri bola sepak di sana terpaksa ditunda untuk satu tempoh yang cukup lama.
Kehadiran China kali ini dalam kejohanan Piala Asia pastinya mereka mahu mengembalikan zaman kegemilangan mereka.
Pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara sebanyak dua kali iaitu pada 1994 di Singapura dan pada edisi 2004 di mana ketika itu mereka adalah tuan rumah.
China juga berjaya menduduki tempat ketiga sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1976 dan 1992; dua kali menduduki tempat keempat pada tahun 1988 dan 2000; tiga kali suku akhir serta tiga kali peringkat kumpulan.
Mereka juga pernah 14 kali menentang pasukan Malaysia dengan rekod cemerlang iaitu sembilan menang, empat seri dan hanya satu kekalahan.
Jordan
Pasukan Jordan bukan asing buat peminat bola sepak di Malaysia kerana banyak kelab-kelab di Liga Super yang gemar menggunakan pemain import dari negara itu kerana mereka mempunyai kualiti serta mudah untuk menyesuaikan diri.
Dengan Jordan kini berada dalam prestasi terbaik, pastinya mereka mahu cuba untuk memperbaiki rekod mereka di Piala Asia kerana sehingga kini pencapaian terbaik mereka hanya sekadar berjaya mara ke suku akhir sebanyak dua kali pada tahun 2004 dan 2011.
Pada edisi 2019, mereka hanya berjaya layak ke pusingan 16 sahaja sekaligus pastinya pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar nanti mereka mahu perbaiki pencapaian mereka.
Untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak lima kali yang mana Jordan menang tiga perlawanan dan seri dua perlawanan.