Hadif Hizamshol mahu fokus kerjaya bola sepak di Wales terlebih dahulu sebelum fikir pulang ke tanah air

1,089

Pemain muda negara Hadif Hizamshol memberitahu fokusnya kini adalah untuk teruskan karier bola sepaknya di Wales sebelum fikir pulang ke tanah air untuk beraksi bersama kelab di Liga Malaysia.

Hadif berkata demikian kerana beliau baru sahaja menandatangani kontrak Pendidikan selama dua tahun bersama kelab The New Saints (TNS) yang beraksi di Cymru Premier.


“Saya sentiasa terbuka kerana ada kemungkinan tapi buat masa ini saya fokus kepada bola sepak di Wales. Saya mahu fokus pada perkara yang ada di hadapan saya terlebih dahulu sebelum fikir mengenai perkara lain.

Tapi saya tak tolak ada kemungkinan itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Hadif beraksi bersama kelab Caernarfon Twon selama beberapa tahun sebelum TNS menandatangani beliau untuk menyarung jersi kelab itu.

Beliau juga tidak merasakan beban apabila terpaksa membahagikan masa untuk akademi dan sukan kerana beliau sudah mempunyai rutin dan jadual hariannya.

“Rutin saya, saya akan pergi ke sekolah pada pukul 9.00am sehingga pukul 3.00pm. Selepas itu kadang-kala saya akan ke kelas hafazan dan selepas itu saya akan turun berlatih. Selepas selesai latihan baru saya akan buat kerja rumah.”

Malah beliau juga tidak merasakan kehilangan ‘waktu’ remajanya apabila tidak dapat menjalani kehidupan seperti remaja lain, sebaliknya berkata ia adalah perkara yang normal kerana remaja di negara itu juga sangat aktif dengan sukan.

Dalam pada itu, ibu kepada Hadif iaitu Puan Halimaton Aris pula memberitahu beliau dan suaminya sanggup berhijrah ke Wales kerana di negara itu mempunyai lebih banyak peluang untuknya mengejar cita-citanya menjadi pemain bola sepak.

“Hadif sejak kecil lagi memang nampak minatnya terhadap sukan dan industri sukan di sini mempunyai banyak peluang untuk dia develop dan belajar, jadi kita rasa macam mahu bagi peluang kepadanya.

Kalau berjaya Alhamdulillah. Tapi saya nampak dia ambil peluang itu dan bekerja keras untuk dapatkan apa yang dimahukannya.”

 Sementara itu, Halimaton juga memberitahu bahawa beliau dan suaminya akan memberi ruang kepada anak mereka untuk menentukan kariernya samada mahu pulang bermain di Malaysia atau sebaliknya.

“Saya bagi anak saya sendiri buat keputusan itu. Saya tidak akan buat keputusan untuk dirinya sebaliknya apa yang dia mahu saya akan sokong.

Dia pun tahu yang dia mempunyai peluang untuk bermain di Malaysia kerana dia lahir di sana. Seperti yang dia cakap, dia sentiasa bersikap terbuka. Dia juga mempunyai impian untuk bermain di Piala Dunia satu hari nanti.”