Relevankah gaji pemain dipotong atas sebab kalah perlawanan?
Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman sedang hangat diperkatakan oleh peminat bola sepak tanah air selepas beliau tampil menjelaskan mengenai isu gaji pemain ‘ditahan’ 50% apabila gagal menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Dalam kenyataannya itu, beliau berkata sekiranya pemain mahukan gaji penuh mereka perlu menang dalam dua perlawanan seterusnya dan beliau akan melepaskan gaji tersebut kepada pemain.
Kenyataan itu telah mencetuskan kemarahan ramai yang menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal apabila Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham melayan pemain-pemainnya seperti beliau menguruskan saham.
Tindakan itu tidak rasional bagi seseorang pemain bola sepak kerana mereka bermain secara berpasukan dan bukannya bermain untuk diri sendiri, serta mengambil tindakan untuk menahan separuh dari gaji mereka adalah satu tindakan yang tidak wajar.
Ini kerana gaji pemain perlu dibayar penuh tidak kira menang atau kalah, bagaimanapun tiada masalah sekiranya bonus yang dipotong apabila pemain tidak dapat mencapai KPI.
Ia sesuatu tindakan yang tidak masuk akal kerana belum pernah lagi pemilik kelab menetapkan syarat perlu menang sekiranya mahu gaji penuh.
Tindakan ini memperlihatkan beliau seolah-olah menggunakan strategi saham ke dalam pengurusan kelab bola sepak.
Difahamkan Zamsaham kini sedang honeymoon di Canada dikala pasukan sedang bergolak !
— Onefootball.my (@OnefootballM) May 10, 2023
-Potong Gaji pemain 50%
-Gaji KPI bulan 3 dan 4 belum bayar
-KWSP tak bayar
-Semua staff berhenti
-Janji bonus belum byr dari tahun lepas
Tengok sahaja list pemain lawan Kedah 👀 pic.twitter.com/cyQJ21omrS
Belum pernah lagi dengar kelab-kelab bola sepak menetapkan syarat seperti ini termasuk Kelantan United FC yang kini berada di tangga terakhir Liga Super, malah kelab itu juga tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji.
Persoalannya kini, adakah perkara ini dibahaskan atau ditulis dan dipersetujui oleh pemain-pemain dalam kontrak mereka? Mungkin pihak pengurusan boleh tampil menjawab persoalan itu.
Adakah pemain-pemain yang terlibat sudah membuat aduan atau laporan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)? Jika ya, apakah tindakan selanjutnya oleh PFAM untuk memastikan kebajikan pemain The Red Warriors tidak ditindas.
Tindakan penahanan 50% gaji pemain termasuk pemain import atau pemain tempatan sahaja yang kena? Jika pemain import turut menerima nasib sama, pastinya mereka akan membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pastinya kelab akan berdepan hukuman berat jika didapati bersalah.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Zamsaham turut menafikan bahawa kelabnya akan dikenakan tindakan larangan pemindahan pemain seperti yang tersebar semalam.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kes di FIFA ketika ini membabitkan Fadel Antar yang kini sedang diselesaikan oleh peguamnnya.
Sejak kebelakangan ini Kelantan terpalit dengan banyak isu dan diharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia secara tidak langsung akan meruntuhkan moral pemain dan peminat di mana ia mungkin akan menjejaskan prestasi pasukan pada saingan Liga Super yang akan bersambung tidak lama lagi.