Bajet besar, tapi fasiliti Sukan SEA Kemboja sangat mengecewakan
Baru-baru ini, tuan rumah Kemboja pada temasya Sukan SEA 2023 menjadi perhatian ramai dengan penjimatan mereka dengan menyediakan fasiliti murah untuk temasya dwitahun ini.
Sukan SEA adalah temasya sukan yang diadakan setiap dua tahun dimana semua negara Asia Tenggara akan bertanding dalam banyak acara sukan seperti bola sepak, olahraga, silat, dan banyak lagi, namun penganjuran buat pertama kali buat Kemboja menjadi sesuatu yang memalukan.
Dilaporkan sebanyak US$300 juta persamaan dengan RM1,337,850,000 dibelanjakan untuk infrastruktur kali ini tetapi apa yang mengecewakan adalah kualitinya termasuk gelanggang bola keranjang yang kelihatan seperti menggunakan tikar getah yang boleh dibeli di mana-mana kedai peralatan rumah.
Ia adalah sesuatu yang cukup memalukan buat tuan rumah apabila penjimatan yang dilakukan itu seperti satu penghinaan buat dunia sukan.
Perkara ini sangat serius kerana ia akan meningkatkan risiko kecederaan kepada atlet-atlet dan lebih teruk lagi sekiranya kecederaan itu menyebabkan karier mereka musnah.
Jika kualiti fasiliti yang tersedia tidak mengikut regulasi yang sepatutnya, perkara-perkara ini boleh berlaku di pentas kejohanan ini.
Selain itu, terdapat juga insiden yang mencerminkan lagi kekurangan di Sukan SEA, bilik persalinan yang digunakan oleh skuad B-22 Indonesia tidak seperti bilik persalinan yang diharapkan tersedia untuk sebuah pasukan bola sepak profesional, sebaliknya seperti bilik persalinan pasukan amatur.
Mereka diberikan kerusi-kerusi plastik yang murah untuk digunakan pemain dan mereka perlu menggunakan pelekat untuk bendera mereka dan papan tanda untuk dilekatkan pada pintu.
Tambahan lagi, tahap kesediaan yang dipamerkan oleh tuan rumah kurang memuaskan kerana terdapat satu insiden dimana mereka menggunakan lampu kereta sebagai lampu untuk sesi penyerahan pingat acara jalan kaki 20km yang berakhir di waktu malam.
Dengan kejohanan diiktiraf oleh International Olympic Committee (IOC), kualiti fasiliti yang disediakan untuk atlet-atlet ini tidak berada pada kualiti dan tahap yang sepatutnya atau setaraf bajet besar mereka.
Perkara ini boleh menjadi tauladan kepada tuan rumah yang seterusnya, Thailand yang akan menjadi tuan rumah temasya ini pada 2025 supaya isu sama tidak berulang lagi.