Jika tak puas hati dengan pengadil jangan tunjuk ‘samseng’, lakukan protes ikut saluran betul
Dalam perlawanan akhir acara pencak silat kelas D lelaki Sukan SEA 2023 antara wakil Malaysia, Izzul Farhan dan wakil Indonesia, Kadek Andrey Nova satu insiden yang mengecewakan terjadi ketika perlawanan berlangsung.
Ia berlaku selepas jurulatih Indonesia kecewa dengan keputusan yang diberikan oleh pengadil perlawanan itu.
Jurulatih itu ‘mengamuk’ dengan membaling penghadang yang diletakkan di atas gelanggang dan bertelagah dengan pegawai perlawanan.
Insiden ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi kedua-dua negara sering dikatakan sebagai saudara serumpun.
Menang dan kalah itu adalah perkara biasa, segala yang berlaku dalam gelanggang tidak perlu diperbesarkan atau menimbulkan kekecohan di luar gelanggang.
Ia jelas ‘membunuh’ semangat kesukanan yang sepatutnya diterapkan dalam kejohanan sukan serantau itu.
Sekiranya terdapat ketidakpuasan hati, boleh sahaja melakukan protes mengikut saluran yang betul dan bukannya menggunakan kekerasan.
Lagipun Sukan SEA bukanlah satu-satunya kejohanan yang ada, masih terdapat banyak lagi pertandingan lain yang boleh dijadikan peluang untuk membalas dendam.
Selain itu, etika sebelum, semasa, dan selepas perlawanan perlu dijaga dan memastikan tahap profesionalisme yang ditunjukkan oleh semua altlet dan juga jurulatih adalah bagus, lebih-lebih lagi mereka merupakan role model untuk orang ramai.
Diharapkan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi dimana-mana acara sukan terutamanya di kejohanan Sukan SEA, dan sikap saling hormat-menghormati dapat ditunjukkan oleh atlet serta pegawai yang terlibat.