Lepaskan dua pemain import, Penang FC boleh intai khidmat Jorge Pereyra Diaz sebagai ganti
Pasukan Penang FC baru sahaja melepaskan dua pemain import mereka, Curt Dizon dan An Sae-hee, walaupun baru 10 perlawanan berlangsung dalam saingan Liga Super.
Pemain sayap dari Filipina, Dizon hanya melakukan satu penampilan sahaja iaitu ketika bertemu dengan Selangor FC, manakala Sae-hee yang merupakan seorang pertahanan juga hanya mempunyai satu penampillan aitu ketika perlawanan menentang Kelantan FC.
Kedua-dua pemain itu dilihat gagal memberikan impak yang diharapkan untuk pasukan, dan ia mungkin menjadi penyebab tempoh mereka bersama kelab itu tidak lama.
Penang ketika ini berada di tangga ketujuh dalam Liga Super, dan menjelang jendela perpindahan pemain kedua yang akan tiba, mungkin pihak pengurusan berasa perlu adanya perubahan bagi meningkatkan prestasi pasukan.
Selepas pemergian kedua-dua pemain itu, Penang sekarang sudah mempunyai dua kekosongan untuk slot pemain import baru, jadi mereka mungkin boleh mendapatkan khidmat Jorge Pereyra Diaz, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dari tahun 2014 hingga 2018.
Mungkin dengan kehadiran pemain berusia 32 tahun ini boleh memberi kualiti yang diperlukan di bahagian serangan, kerana beliau boleh bermain di bahagian sayap dan juga penyerang tengah.
Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman bermain di Liga Super, jadi tiada masalah untuknya menyesuaikan diri di Malaysia.
Kini beliau bermain di Indian Super League, bersama Mumbai City dan mempunyai 12 gol dalam 24 penampilan untuk kelab itu, selain berjaya menjulang trofi liga.
Kontraknya bersama Mumbai City akan tamat pada hujung bulan ini, dan ketika ini terdapat kelab di Liga Super yang dilaporkan sedang mengintai khidmatnya.
Tetapi Penang nampaknya perlu berkerja keras sekiranya berminat untuk mendapatkan khidmatnya, kerana pasukan dari Borneo, Sabah di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee juga dikhabarkan berminat untuk membawanya ke Malaysia.
Kehadirannya ke Liga Super pasti mampu merancakkan lagi saingan liga kerana semua tahu apa yang mampu dilakukan oleh pemain Argentina itu.
Apa-apa pun, kita akan tunggu perkembangan akan datang tentang pemain itu dalam masa terdekat, sama ada beliau kembali memeriahkan saingan Liga Super atau tidak.