Tercalon untuk pemain terbaik SPL, Furuhashi dan Hatate bakal ikut jejak Nakamura, julang nama Jepun dan Asia di Eropah

252

Walaupun masih ada empat perlawanan lagi dalam saingan Scottish Premier League (SPL)  pada musim ini, senarai nama yang akan merebut gelaran pemain terbaik liga sudah pun dikeluarkan.

Terdapat tiga pemain Celtic yang tersenarai dalam pilihan iaitu Callum McGregor, Reo Hatate dan Kyogo Furuhashi, selain seorang lagi pemain dari Motherwell, Kevin van Veen.


Daripada senarai ini, terdapat dua pemain Jepun yang terpilih untuk merebut gelaran tersebut iaitu Furuhashi dan Hatate.

Furuhashi adalah penjaring gol terbanyak dalam liga musim ini dengan 24 gol dalam 32 penampilan manakala Hatate mempunyai 5 gol dan 7 bantuan gol dalam 28 penampilan bersama Celtic pada musim ini.

Dua pemain ini telah memberi impak yang besar sepanjang musim untuk membawa Celtic menjadi juara SPL, pengaruh dan sumbangan oleh mereka sepanjang musim tidak boleh dipertikaikan.

Jika salah satu antara mereka yang memenangi anugerah tersebut, mereka bakal menjadi pemain kedua dari Jepun dan Asia yang pernah memenangi anugerah pemain terbaik SPL, mengikut jejak langkah legenda Jepun, Shunsuke Nakamura.

Nakamura adalah pemain pertama dari Asia dan Jepun yang memenangi anugerah pemain terbaik SPL pada tahun 2007, beliau juga boleh dianggap sebagai antara pemain terbaik yang pernah bermain di liga itu dan telah memahat namanya sebagai seorang legenda bagi Celtic.

Peminat bola sepak Asia terutamanya Jepun pastinya akan merasa bangga dengan masa depan bola sepak negara itu, dan pemain berkenaan akan menjadi satu ikon baharu untuk pemain-pemain Asia lain.

Selain itu, kejayaan meraih anugerah itu juga menjadi bukti bahawa pemain Asia mempunyai potensi dan kebolehan untuk menjadi antara pemain terbaik di peringkat tertinggi bola sepak Eropah.

Ia juga boleh menghapuskan pandangan skeptikal sebilangan pihak bahawa pemain-pemain dari Asia tidak mampu bersaing dengan pemain Eropah.