‘Post-mortem’ perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kegagalan Harimau Muda di Sukan SEA
Tamat sudah perjuangan pasukan kebangsaan B-22 di temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas mereka tersingkir pada peringkat Kumpulan B semalam.
Biarpun menamatkan saingan dengan cukup garang apabila membelasah Singapura 7-0, namun ia umpama sebagai sagu hati buat hati yang lara selepas gagal layak ke separuh akhir sekaligus gagal mencapai sasaran.
Sebelum ini Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir atau lebih baik lagi meraih pingat emas bagi menamatkan kemarau 12 tahun.
Malah ketua jurulatih Harimau Muda, E. Elavarasan juga tampak yakin apabila menganggap sasaran tersebut adalah realistik untuk dicapai, tapi ternyata ia meleset apabila skuad negara ‘bungkus awal’.
Harimau Muda membuka tirai saingan dengan langkah kanan apabila berjaya membenam Laos 5-1, namun dua kekalahan berturut-turut di tangan Thailand 2-0 dan Vietnam 2-1 telah menyebabkan mereka terpaksa pulang lebih awal.
Di mana salah silapnya pada skuad kali ini? Jika dilihat dari barisan pemain yang dibawa, ramai yang melihat skuad ini mempunyai peluang yang cukup cerah dek mempunyai kualiti, namun sebaliknya berlaku menyebabkan ramai yang kecewa.
Dalam pada itu, selepas tamat perlawanan semalam Elavarasan telah membuat kenyataan mengenai faktor kegagalan skuad negara di mana beliau seperti memberi gambaran tiada persiapan rapi menjadi faktor utama.
Beliau berkata pasukan lain membuat persiapan rapi, tetapi skuad negara pula ‘kita lakukan hanya kumpulkan dan bawa mereka ke sini (Kemboja)’.
Kenyataan itu mencetuskan persoalan kerana ia seolah-olah seperti beliau cuba memberitahu ‘sesuatu’, namun tidak secara terus.
Antara persoalan lain yang menjadi tanda tanya peminat adalah mengapa Elavarasan atau FAM tidak mengatur siri perlawanan persahabatan komeptitif bagi mempersiapkan pasukan?
Tiada perbincangan ke di antara barisan kejurulatihan dan FAM untuk persiapan skuad negara ke Sukan SEA? Ini kerana FAM sendiri sudah meletak sasaran yang tinggi, jadi takkan persiapan dibuat ala kadar sahaja?
Apa pun semuanya sudah terlambat kerana ‘nasi sudah jadi bubur’, dan diharap ia dapat dijadikan pengajaran buat semua kerana kita perlu pastikan temasya Sukan SEA 2025 nanti kita akan lebih bersedia.
Ya, sememangnya mengecewakan dan sudah tiada apa yang boleh dibuat, tapi ia tidak bermakna peminat tidak mahu mengetahui sebab utama kegagalan skuad negara kali ini.
Persoalan utama ketika ini adalah adakah FAM akan buat ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca utama kegagalan? Jika ya, bilakah laporan itu akan siap dan didedahkan kepada orang ramai?