DNA Selangor tak menjadi, mungkin boleh guna DNA JDT untuk Harimau Muda
Semalam skuad Harimau Muda berpesta gol apabila membelasah Singapura 7-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas tersingkir awal dari temasya itu.
Kebanyakkan pemain yang bersama skuad untuk Sukan SEA sudah dalam lingkungan umur 21 tahun dan dengan temasya ini hanya dua sekali sahaja, maka ramailah pemain dari skuad ini sudah tidak lagi layak untuk bertanding di Sukan SEA 2025 kerana had umur untuk acara bola sepak 22 tahun ke bawah.
Skuad Harimau Muda dibarisi oleh ramai pemain dari Selangor FC seperti Mukhairi Ajmal, Ruventhiran, Azrin Afiq, Syahir Bashah dan Sikh Izhan.
Sikh Izhan dan Azrin Afiq dipinjamkan ke kelab dalam Liga Super pada musim ini, Sikh Izhan dipinjam oleh Negeri Sembilan dan Azrin pula dipinjam ke Kedah Darul Aman FC.
Dengan hilangnya DNA Selangor sebagai pelapis dalam skuad Harimau Muda, mungkin skuad B-22 menggantikannya dengan DNA Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana ketika ini sudah ada beberapa pemain dari kelab Harimau Selatan antaranya, Najmuddin Akmal, Fergus Tierney, dan Daryl Sham yang telah bermain Sukan SEA tahun ini.
JDT sebenarnya mempunyai ramai lagi pemain-pemain muda yang boleh diserap dalam skuad negara seperti Aysar Hadi (skuad B-19 yang berjaya julang trofi Piala AFF 2022), Gabriel Nistelrooy, Chia Ruo Han, Umar Hakeem dan ramai lagi.
Mungkin dengan kemasukan pelapis baru akan memberi nafas baru serta mudah untuk menerapkan corak permainan berintensiti tinggi kerana sudah terbiasa ketika bersama kelab mereka.
Beberapa kelab lain yang sering melahirkan ramai pemain-pemain muda berkualiti seperti Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC, Perak FC dan beberapa lagi turut boleh menjadi pilihan kerana majoriti pasukan kini mula menerapkan corak permainan bola sepak moden.