Jika Richard Chin wakili Malaysia, Malaysia punyai prospek masa depan cerah di bahagian bek kiri
Rock Management yang merupakan ejen kepada pemain yang mempunyai darah Malaysia-Seychelles, Richard Chin, baru-baru ini mengesahkan bahawa pemain itu akan datang ke Malaysia untuk berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 17 Mei 2023.
🏴 Richard Chin’s agency, Rock Management, confirmed he will be coming to Malaysia next week to meet the FAM. pic.twitter.com/SjIg1DuRyK
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) May 11, 2023
Beliau merupakan pemain akademi dari kelab Inggeris, Charlton Athletic, yang boleh bermain di pelbagai posisi iaitu bek kiri, bek kanan serta pemain tengah bertahan.
Namun, beliau sering diletakkan sebagai pertahanan kiri ketika beraksi bersama pasukan itu.
Pemian berusia 21 tahun itu adalah pemain warisan Malaysia pertama yang bermain dalam saingan Piala EFL.
Kini beliau dipinjamkan ke kelab Dartford di Vanarama National League South, dengan penampilan sebanyak tujuh perlawanan bersama kelab itu pada musim ini.
Berita kedatangan pemain itu ke Malaysia membuatkan ramai peminat bola sepak tempatan berasa teruja dengan kemungkinan beliau akan bermain untuk Malaysia.
Pada tahun lalu, beliau ada membuat pengakuan bahawa beliau berminat untuk menyarung jersi Malaysia dan telah mencuba mencari jalan bersama Rock Management untuk memastikan beliau layak bermain untuk Malaysia.
Tarikh 17 Mei nanti mungkin menjadi satu kenyataan untuknya apabila berjumpa dengan FAM.
Jika beliau membuat keputusan untuk Malaysia, beliau boleh menjadi pengganti pada masa depan kepada pertahanan kiri utama negara ketika ini, Corbin Ong.
Namun beliau mempunyai kelebihan dari segi versatiliti kerana mampu untuk bermain di posisi bek kanan jika perlu kerana kaki dominannya adalah kaki kanan.
Jika beliau rasmi menjadi pemain Malaysia seperti yang diharapkan, masa depan posisi bek kiri Harimau Malaya pasti akan terjamin dengan prospek berbakat besar sepertinya.
Diharapkan perjumpaan antara Richard Chin dan FAM pada 17 Mei akan membuahkan hasil yang baik dan ke arah yang akan membantu masa depan bola sepak negara.