Stadium Piala Dunia, padang latihan Perancis dan stadium ‘bertuah’ Bahrain jadi venue perlawanan Malaysia di Piala Asia 2023

587

Menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung kira-kira lapan bulan lagi, segala-galanya telah diketahui dalam majlis undian peringkat kumpulan yang dilangsungkan semalam.

Selain kumpulan yang akan ditempuhi, setiap pasukan juga telah mengetahui stadium yang bakal menjadi venue perlawanan mereka.


Malaysia akan beraksi di tiga stadium berlainan untuk peringkat kumpulan iaitu di Stadium Al Janoub (menentang Jordan), Stadium Jassim Bin Hamad (menentang Bahrain) dan Stadium Abdullah Bin Khalifa (menentang Korea Selatan).

Antara kesemua stadium itu, pastinya peluang beraksi di Stadium Al Janoub dinanti-nantikan oleh para pemain kerana ia merupakan salah satu stadium yang menjadi venue untuk Piala Dunia Qatar 2022 lalu.

Stadium tersebut telah digunakan untuk perlawanan kumpulan D, G dan H pada kejohanan itu, di mana pasukan-pasukan terkemuka seperti Perancis, Uruguay dan Cameroon pernah beraksi di padang tersebut.

Selain itu, ia juga turut menjadi lokasi untuk perlawanan pusingan 16 terakhir antara Jepun dan Croatia.

Namun, padang tersebut mungkin boleh memberikan kelebihan kepada Jordan ketika menentang Malaysia kerana mereka mempunyai pengalaman beraksi di sana ketika saingan Piala Arab FIFA 2021.

Stadium kedua iaitu Stadium Jassim Bin Hamad pula merupakan stadium milik kelab Al Sadd yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Ia pernah menganjurkan beberapa kejohanan sukan termasuk Sukan Asia 2006 termasuk Sukan Pan Arab 2011, serta acara bola sepak terkemuka seperti Piala Kelab Dunia FIFA dan Supercoppa Italiana.

Pada kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 lalu juga, ia menjadi padang latihan untuk pasukan Perancis.

Stadium terakhir yang akan menjadi lokasi perlawanan menentang Korea Selatan, Stadium Abdullah Bin Khalifa pula merupakan sebuah stadium milik juara Qatar Stars League 2022/23 iaitu Al-Duhail SC.

Stadium berkenaan pernah menjadi salah satu stadium untuk kejohanan Piala Negara Teluk WAFF (Arabian Gulf Cup) pada 2019, termasuklah perlawanan akhir yang menyaksikan Bahrain menjulang trofi kejohanan tersebut.

Apa yang menarik adalah, ketiga-tiga stadium itu terletak tidak jauh antara satu sama lain, dengan jarak dari Stadium Al Janoub ke Stadium Jassim Bin Hamad adalah sekitar 19 kilometer, dari stadium Al Janoub ke Stadium Abdullah Bin Khalifa kira-kira 31.6 kilometer, manakala dari Stadium Stadium Jassim Bin Hamad ke Stadium Abdullah Bin Khalifa adalah 15.4 kilometer.

Kesemua perjalanan itu memakan masa tidak sampai 30 minit perjalanan menggunakan kereta.

Ia pasti satu berita baik buat penyokong yang hadir ke Qatar untuk memberikan sokongan kepada Harimau Malaya di kejohanan itu.