Pembangunan pemain muda kembali ke FA adalah langkah yang bagus tapi perlu pemantauan

244

Ahli Jawatankuasa (EXCO) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar berasa yang pembangunan akar umbi patut serah balik ke Persatuan Bola Sepak Negeri (FA), supaya Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (Dahari) tidak menjadi tempat pengumpulan bakat-bakat muda.

Ia adalah satu cadangan yang cukup baik kerana sejak penswastaan pasukan bola sepak dilakukan, ada beberapa FA yang dilihat seperti tidak berfungsi sehinggakan ada yang hampir ditutup contohnya Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).


Mungkin sudah tiba masanya FA di setiap negeri memainkan peranan penting dalam pembangunan akar umbi di negeri masing-masing.

Mungkin FA setiap negeri boleh mengikut konsep dan cara AMD dalam membangunkan pemain-pemain berbakat di bawah naungan mereka, sekaligus dapat mengelakkan dari menjadikan AMD tempat satu-satunya pemain berbakat untuk melebarkan karier bola sepaknya.

Sekiranya setiap FA melakukan perkara sama seperti AMD, maka pembangunan bola sepak tanah air akan menjadi lebih mantap dan akan terus melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti pada masa hadapan.

Selain dana daripada kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pastinya akan turut sama membantu dalam pelbagai aspek termasuk membuat pemantauan terhadap tadbir urus agar tiada sebarang salah laku yang berlaku.

Bukan sahaja pihak FAM, satu badan bebas juga boleh diwujudkan bagi memastikan sentiasa ada ‘semak dan imbang’ supaya tiada masalah akan timbul.

Ia adalah satu cadangan dan inisiatif yang cukup baik bagi memastikan pemain-pemain ini mendapat ruang dan peluang untuk bersinar.

Contoh terbaik adalah pemain muda hebat, Arif Aiman yang berjaya merangkul anugerah sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak dua kali berturut-turut pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Arif merupakan pemain di AMD tapi tidak mendapat peluang dan minit permainan untuk memperlihatkan kemampuannya sehingga beliau tenggelam, namun bakat beliau kemudian mendapat perhatian Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sejak bersama Akademi JDT, bakat Arif terus diasah dan kini beliau menjadi prospek negara untuk masa hadapan.

Kehebatan beliau turut menarik minat banyak pihak termasuk dari luar negara sekaligus menjadi bukti bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai ramai pemain berbakat besar, namun tiada peluang untuk menonjolkan kemampuan mereka kerana tempat terhad.

Selain Akademi JDT yang mula melahirkan pemain-pemain muda berbakat sejak beberapa tahun ini, FA negeri yang terkenal dengan melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang dan beberapa lagi terus aktif dalam program pembangunan akar umbi.

Kita harapkan selepas ini setiap FA negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak akar umbi di negeri masing-masing supaya lebih ramai pemain muda berkualiti dapat dilahirkan.