Pencapaian pada Sukan Asia 2018 tidak boleh diambil kira untuk perlawanan skuad senior – Ong Kim Swee

398

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, Datuk Ong Kim Swee memberitahu bahawa pencapaian pada Sukan Asia 2018 tidak boleh diambil kira apabila membabitkan skuad senior.

Ong Kim Swee berkata demikian selepas Harimau Malaya bakal bertemu gergasi Asia, Korea Selatan pada kejohanan Piala Asia 2023 nanti.


“Ini merupakan satu kejohanan yang cukup berprestij di Asia, di mana kita tahu ia bukan kejohanan peringkat umur dan sudah tentu perbezaannya sangat ketara.

Apabila kita menewaskan Korea Selatan 2-1 ketika itu bersama skuad B-23 dan tiga pemain lebih umur, dan itu kita tidak boleh ambil kira kerana di peringkat senior sudah tentu setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing terutamanya kita tahu Korea Selatan sudah banyak kali layak ke Piala Dunia.

Malah pemain-pemain mereka juga banyak beraksi di peringkat Eropah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian bagi mengimbau kembali apabila skuad Harimau Muda berjaya melakukan kejutan besar dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 yang ketika itu turut dibarisi pemain bintang seperti Son Heung-min, Kim Min-jae dan Hwang Hee-chan.

Kim Swee bagaimanapun berkata sekiranya setiap pemain mempamerkan komitmen yang cukup tinggi, tiada apa yang mustahil.

“Saya percaya dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku jika kita mempunyai approach yang cukup positif dan jalankan tugas yang diarahkan oleh jurulatih, sudah tentu kejayaan boleh dikecapi, tetapi bukan dengan jalan yang mudah.”

Pada majlis undian akhir Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini, skuad kendalian Kim Pan-gon diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Dalam pada itu, beliau juga tidak pasti samada pemainnya seperti Rizal Ghazali, Dominic Tan, Baddrol Bakhtiar dan Irfan Zakaria yang berada dalam skuad 2018 akan turut tersenarai pada kejohanan Piala Asia nanti.

“Ia terpulang kepada prestasi mereka. Kita harus faham di sini, kejohanan Piala Asia hanya akan berlangsung pada Januari tahun hadapan. Untuk terpilih ini terpulang pada mereka untuk buktikan prestasi mereka dalam saingan liga akan datang sehingga hujung musim.

Para pemain yang cukup konsisten saya percaya beliau akan dipilih setiap jurulatih tidak kira dari pasukan mana sekalipun. Jika mereka mampu tunjukkan prestasi pada baki saingan liga, Piala FA dan Piala Malaysia, mereka mampu dipilih ke pasukan kebangsaan.”