Kami di sini adalah untuk sediakan ‘jalan’ untuk pemain ke Sepanyol – Jonathan Abishegam
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin banyak akademi bola sepak mula wujud di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Klang dan salah satunya adalah Akademi Bola Sepak Villarreal Malaysia.
Namun apa yang menarik mengenai Akademi Villarreal Malaysia adalah mereka memberi ruang dan peluang kepada pemain berpotensi untuk terbang ke Akademi Villarreal di Sepanyol untuk merasai sendiri pengalaman berlatih di salah sebuah akademi terbaik di dunia.
“Kami di sini adalah untuk cuba memberikan peluang sebanyak yang mungkin untuk pemain-pemain. Saya yakin tidak banyak akademi bola sepak di sini yang menyediakan program seperti ini.
Jadi kami sangat bangga dapat peluang seperti ini di mana pemain berpotensi yang terpilih untuk ke Sepanyol, mereka mempunyai peluang bermain di sana sekiranya pemain itu betul-betul berbakat. Pihak akademi di Sepanyol turut menyatakan perkara sama.
Oleh itu, kami di Akademi Villarreal Malaysia adalah untuk menyediakan ‘jalan’ buat pemain-pemain ini,”
ujar Pengarah Urusan Akademi Villarreal Malaysia, Jonathan Abishegam.
Jonathan berkata demikian apabila akademinya kini sedang membuat sesi pemilihan yang mana seorang pemain berpotensi akan diterbangkan ke Sepanyol untuk menjalani latihan di sana selama seminggu.
Menurut beliau, walaupun tempoh latihan itu tidak panjang tetapi ia akan memberi pengalaman yang cukup bermakna buat pemain, di mana pemain ini juga akan dipantau oleh jurulatih berpengalaman di Villarreal.
Dalam pada itu, bagi memastikan program pembangunan akademi tersebut terus memberi ruang dan peluang kepada setiap pemain mendapat perlawanan berkualiti, mereka akan menghantar sekitar 14 pasukan untuk menyertai saingan Liga Suparimau tahun ini.
“Selain program akademi, saya percaya musim ini kami akan menghantar 12 ke 14 pasukan untuk beraksi dalam saingan Liga Suparimau di Selangor dengan kami akan menghantar wakil untuk setiap peringkat umur bermula B-6 hingga B-16.”