Ong Kim Swee: “Terbukti jurulatih tempatan lebih bagus untuk Harimau Malaya”
Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee mengakui jurulatih yang mampu menggalas tugas sebagai pengendali skuad Malaysia adalah jurulatih tempatan.
Ong Kim Swee berkata demikian bagi mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan oleh peminat ketika ini iaitu siapakah ketua jurulatih baru yang akan dilantik oleh FAM dalam masa terdekat ini yang mana FAM dikatakan berkemungkinan akan mengambil jurulatih dari luar negara.
Menurut Ong Kim Swee, berdasarkan rekod lebih sedekad yang lalu telah membuktikan jurulatih tempatan adalah yang terbaik buat pasukan negara.
“Jika kita lihat sejak dari zaman jurulatih B. Sathianathan, K. Rajagobal meraih pelbagai kejayaan, kemudian Dollah Salleh dan saya, kami mempunyai prestasi turun naik.
Kemudian apabila FAM lantik jurulatih dari luar negara Nelo Vingada yang mana dalam tujuh perlawanan hanya seri sekali sahaja dan selebihnya kalah. Apabila Tan Cheng Hoe ambil alih kita dapat lihat prestasi skuad negara meningkat. Jadi ia sudah terbukti jurulatih tempatan lebih bagus,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ong Kim Swee pada masa sama berharap ketua jurulatih skuad B-23 negara iaitu Brad Maloney tidak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior yang baru kerana skuad kendalian Maloney mempunyai empat kejohanan besar pada tahun ini.
Tambahnya lagi, jika FAM ingin mengambil jurulatih dari luar negara mereka perlu pastikan jurulatih itu mempunyai pengetahuan luas tentang bola sepak Asia Tenggara.
“FAM perlu meneliti betul-betul jurulatih yang ingin dipilih kerana kita tidak boleh pilih jurulatih yang apabila kita kalah kena buang. Jika ini berlaku ambillah jurulatih terbaik dunia sekalipun kita tetap tidak akan mencapai kejayaan.”
Dalam pada itu, Ong Kim Swee turut mengulas mengenai Roadmap FAM F:30 yang mana beliau berkata program itu masih belum gagal, tetapi perlu diperbaiki.
“Jika pasukan negara tidak berjaya melepasi kelayakan Piala Asia ia bermakna kita gagal, tetapi bukan program itu yang gagal tapi kita gagal mencapai kejayaan seperti yang disasarkan.
Kita tidak boleh mengatakan program F:30 ini gagal sekiranya skuad senior gagal kerana program ini bukan sahaja mengenai skuad senior sahaja sebaliknya ia merangkumi program kejurulatihan, program pembangunan pemain dan banyak lagi. Jadi tak perlu kita perbahrui program tersebut sebaliknya kita perbaiki sahaja.”
Bercerita lanjut mengenai pasukan Sabah FC, Ong Kim Swee berkata mereka kini sudah pun memulakan latihan awal bersama pemain-pemain tempatan dan masih menunggu beberapa pemain dari skuad kebangsaan tiba untuk jalani latihan penuh.